PIA sesak macam ‘pasar malam’, KM harap Pusat segera pertimbang projek pembesaran

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Pusat dapat mempertimbangkan segera pelaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, PIA kini telah mencecah kapasiti maksimum iaitu 6.5 juta penumpang setahun.

“PIA perlu diperbesarkan segera bagi memenuhi keperluan pada masa hadapan.

“Sekarang inipun ia sudah sesak, saya tidak mahu nanti PIA kelihatan macam ‘pasar malam antarabangsa’ Pulau Pinang, dan saya harap pihak berkaitan dapat segera memberi kelulusan untuk memperbesarkannya (PIA),” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, walaupun sudah banyak permohonan dibuat dan meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mempertimbangkan pembesaran PIA, namun masih belum terima apa-apa jawapan.

“Tahun ini (2017), dijangkakan kemasukan penumpang melalui PIA mencecah 7 juta penumpang iaitu melebihi kapasiti maksimum penumpang 6.5 juta (penumpang) sahaja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Berdasarkan sumber daripada Malaysia Airports Berhad (MAB), pada 2015, jumlah penumpang adalah 6.25 juta dan meningkat sebanyak 5.93 peratus kepada 6.63 juta penumpang pada 2016 iaitu melepasi kapasiti maksimum semasa 6.5 juta penumpang.

Kali terakhir lapangan terbang itu dinaik taraf adalah pada 2012 dengan kos RM250 juta bagi menambah kemampuannya mengendalikan lima juta penumpang daripada 3.5 juta penumpang sahaja sebelumnya. (Rujuk Lampiran A)d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);