23 kompleks pasar & makanan bernilai RM35.43 juta dinaik taraf sejak 2009

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Sejumlah 24 Kompleks Pasar dan Makanan seluruh negeri Pulau Pinang dinaik taraf dengan kos sebanyak RM35,434,848.66 sejak 2009 sehingga kini termasuk Projek Pengubahsuaian dan Naik Taraf Pasar Chowrasta yang menelan kos RM13, 496,943.66.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf kompleks-kompleks pasar dan makanan seluruh negeri akan dilakukan secara berterusan demi memanfaatkan peniaga-peniaga kecil dan penduduk setempat.

“Sejak mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, Kerajaan Pakatan Harapan bertekad untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia dan pastinya penekanan diberikan terhadap kompleks-kompleks pasar awam serta makanan seluruh negeri.

“Malah, saya juga difahamkan bahawa MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) secara berterusan sejak 2009 menaik taraf kompleks-kompleks pasar awam dan makanan yang dilihat mampu memberi nilai tambah kepada peniaga serta masyarakat setempat,” ucapnya pada Majlis Penyempurnaan Projek Pengubahsuaian dan Naik Taraf Pasar Chowrasta dekat sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Pasar Chowrasta merupakan antara pasar tertua di Malaysia dan sejak 1961, tiada sebarang inisiatif untuk menaik taraf bangunan yang dipercayai wujud sejak 1890 berkaitan.

“Oleh sebab bangunan ini diabaikan, Kerajaan Negeri hari ini mengambil inisiatif membelanjakan RM13.49 juta untuk mengubah wajah Pasar Chowrasta.
“Kini, Pasar Chowrasta bukan sahaja kompleks pasar dan makanan yang utama dan besar, malah turut menepati ciri-ciri hijau kerana telah berjaya memperoleh pengiktirafan Green Building Index (GBI) Rated.
“(Dan) pastinya sebagai ikon ‘Central Business District‘ di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, saya berharap ia dapat mengekalkan kebersihannya,” ujarnya yang turut menyeru agar para peniaga di Kompleks Pasar dan Makanan Chowrasta sentiasa menitikberatkan soal kebersihan dan menjaga kemudahan yang disediakan di sini.

Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail.

Dalam pada itu, Guan Eng turut dibawa melawat setiap gerai jualan di kompleks tersebut.

Juga mengiringi beliau, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang; Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang, barisan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Ketua-ketua Jabatan MBPP dan Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Chowrasta (CMTA), Mohamed Nasir Mohideen.

Kompleks Pasar dan Makanan Chowrasta kini mempunyai 240 gerai di bahagian luar pasar, gerai barangan am (81) dan gerai makanan dan minuman (18).

Selain itu, ia turut mempunyai kemudahan parkir bertingkat, tandas, surau, tangga bergerak (escalator), ruang rehat dan dewan.}