SUNGAI ACHEH – Projek pembinaan Dewan Terbuka Kuala Haji Ibrahim bernilai RM160,000 bakal dilaksanakan bagi memperkukuh kemudahan komuniti, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan Sungai Acheh.
Peruntukan tersebut disalurkan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang diurusetiakan oleh Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, manakala pelaksanaan projek berkenaan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Projek pembinaan dewan terbuka itu dijadualkan bermula pada pertengahan Disember ini dan dijangka siap pada awal Februari 2027.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Dato’ Rashidi Zinol berkata, kemudahan baharu itu mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri demi meningkatkan keselesaan penduduk setempat.
Menurut beliau, apabila siap kelak, dewan terbuka tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penganjuran kenduri-kendara dan aktiviti komuniti, malah berpotensi menjadi mercu tanda serta hab baharu bagi penganjuran program keusahawanan dan pelancongan di kawasan berkenaan.
“Saya tidak mahu orang kampung kita hanya menjadi penonton apabila pelancong datang.
“Kita mahu penduduk Sungai Udang dan Sungai Chenaam menjadi pemain utama dengan membuka gerai makanan laut segar, mengusahakan produk hiliran hasil laut, menawarkan pakej bot memancing serta membangunkan inap desa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Fiesta Kuala @Kuala Haji Ibrahim di sini, hari ini.
Rashidi yang juga Timbalan Pengerusi PERDA berkata, Kuala Haji Ibrahim mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan desa menerusi gabungan elemen keterjaminan makanan, agroteknologi dan keusahawanan.
Jelasnya, keunikan alam semula jadi kawasan itu termasuk hutan bakau, Zon Industri Akuakultur Sungai Udang, aktiviti menyusuri Sungai Kerian serta perkampungan warisan Kampung Sungai Chenaam merupakan antara aset yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan.
Di samping itu, beliau turut menyeru golongan belia luar bandar supaya tidak berasa rendah diri, sebaliknya memanfaatkan platform digital dan media sosial sebagai medium mempromosikan keunikan desa serta aktiviti menangkap udang di Sungai Acheh kepada masyarakat di seluruh negara.

Sementara itu, Pengurus Besar PERDA, Dato’ Mohd. Asri Baharum @ Harun dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan keindahan muara sungai dan deretan sangkar ikan di kawasan berkenaan sebagai ‘permata tersembunyi’ yang berpotensi menjana sumber pendapatan kepada penduduk setempat.
“Apabila sektor pelancongan di Sungai Acheh ini rancak, anak-anak muda tidak perlu lagi berhijrah ke bandar besar dan meninggalkan ibu bapa kerana peluang mencari rezeki sudah terbentang luas di tanah kelahiran sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen PERDA untuk terus berperanan sebagai pemudah cara dan rakan strategik komuniti dalam merancakkan pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar.
Fiesta Kuala @Kuala Haji Ibrahim yang berlangsung sejak awal pagi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga, termasuk acara sukaneka, pancing darat, simpulan kasih, boling padang, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan memasak serta demonstrasi membuat wau.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menerusi Program Jualan Rahmah, di samping menikmati pengalaman menyusuri muara sungai melalui aktiviti jelajah kuala menggunakan bot pelancongan.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS), Zuraini Jalal, yang mewakili Pegawai Daerah dan Tanah SPS; Timbalan Pengarah BPPBPP, Masrina Zainal, yang mewakili Pengarah BPPBPP; Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) PERDA, Anuar Shahab; Pengarah SME Corp. Malaysia Pejabat Negeri Pulau Pinang, Nurul Zahirah Ayob; serta Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pulau Pinang, Nor Afifah Abd Hamid.
Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, PPgB Mohd. Khairul Anuar Kamaruddin; Pegawai MARA Daerah SPS, Mohd. Ziauddin Nasir; Penolong Pegawai MARA Daerah, Nor Syahirah Mat Saad; Ketua Balai Polis Sungai Acheh, Sarjan Mejar Mohamad Zamzuri Abdul Mutalip; Pengurus Penang Halal International Sdn. Bhd., Mohamad Khairil Ahmad; Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran (MTPPKK) KEMAS Parlimen Nibong Tebal (SPS), Ramlan Yahaya; serta Ketua Pegawai Operasi PERDA Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB), Norhafizam Sirat.
Penganjuran program tersebut turut mendapat kerjasama institusi komuniti setempat di kawasan Sungai Acheh, melibatkan pegawai dan kakitangan Pusat Khidmat ADUN Sungai Acheh, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK), Kelab Kebajikan Kuala Haji Ibrahim, Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Pulau Pinang (JPWK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Penganjuran fiesta berkenaan diharap menjadi titik tolak kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat, sekali gus mengangkat Kuala Haji Ibrahim sebagai destinasi ekopelancongan desa yang berpotensi menarik kunjungan pelancong ke Seberang Perai Selatan.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB