Pihak bank disaran atur petugas pastikan pelanggan patuhi jarak sosial – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyarankan pihak bank di negeri ini agar mengatur beberapa petugas bagi memastikan pelanggan mereka mematuhi amalan jarak sosial ketika berbaris di luar premis bank.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Bilik Kawalan CCTV Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati bahawa berlaku sedikit kesesakan di luar premis bank di sekitar bandar raya ini.

“Berdasarkan lawatan kami ke beberapa tempat di sekitar bandar raya George Town dan pemantauan melalui beratus CCTV di ratusan lokasi dekat bahagian pulau mendapati bahawa keadaan trafik adalah sederhana dan tidak nampak kesesakan berlaku.

Keadaan di sekitar bandar raya Pulau Pinang masih dalam keadaan terkawal.

“Cuma kita dapati berlaku satu situasi yang mana orang ramai berhimpun di luar bank yang difahamkan untuk menuntut bayaran i-Lestari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

“Beberapa bank juga didapati tidak mempunyai ruang yang cukup di luar premis masing-masing untuk membolehkan orang ramai beratur dengan mengekalkan jarak sosial satu meter.

“Justeru, diharapkan pihak bank dapat juga mengatur petugas untuk memastikan pelanggan-pelanggan mereka mematuhi jarak sosial walaupun dalam jumlah yang ramai,” katanya selepas melakukan tinjauan keadaan hari pertama Fasa Pembiasaan Strategi Pemulihan Berperingkat yang bermula hari ini, dekat Bilik Kawalan CCTV MBPP di Komtar sebentar tadi.

Turut serta, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada barisan petugas MBPP kerana menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan penduduk di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Terima kasih kepada MBPP kerana telah memantau keadaan di negeri ini pada hari pertama permulaan sektor ekonomi yang bermula hari ini menerusi pusat kawalan CCTV.

Chow Kon Yeow bersama-sama Ar. Yew Tung Seang turut meninjau operasi di premis Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi tempoh PKPB.

“Secara keseluruhannya, setakat tengah hari, hari ini keadaan dilihat adalah sederhana tetapi kita menjangkakan keadaan agak sesak pada hujung minggu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tung Seang menyatakan bahawa pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan di sekitar bandar raya Pulau pinang sentiasa dalam keadaan terkawal.

“Dari beberapa kawasan yang kita lawati, kelihatan bahawa rakyat masih dalam momentum dan tidak terlalu ramai,” jelasnya.

Difahamkan, Pulau Pinang mula memasuki Fasa Pembiasaan (Fasa 2) pada hari ini di bawah ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ yang mana semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi di bawah PKBP boleh menyesuaikan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) serta norma baru ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG

Video : ALISSALA THIAN