Bas Rapid Penang operasi penuh bermula hari ini, kata Ketua Operasi Rapid Penang

Admin

GEORGE TOWN – Syarikat pengangkutan awam, Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) hari ini mengoperasikan keseluruhan 242 buah bas selepas menghadkan waktu operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu sebagai inisiatif bersama mematahkan rantaian penularan wabak COVID-19.

 

Menurut Ketua Operasi Rapid Penang, Ahmad Shabuddin Abdullah, kesemua bas kembali beroperasi sejurus Kerajaan Negeri mula membuka sektor-sektor ekonomi (yang dibenarkan) selaras dengan pelaksanaan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang memasuki fasa 2 hari ini.

 

“Hari ini hari pertama kita beroperasi selepas tempoh PKP. Bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bawah Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang (SPBPP) Fasa 2, kita telah meningkatkan perkhidmatan 100 peratus dengan 242 buah bas kembali beroperasi.

 

“Sebelum ini, Rapid Penang hanya beroperasi pada jam 6 hingga 10 pagi, dan 4 petang hingga 10 malam.

 

“Jadi bermula hari ini, waktu operasi kita kembali kepada asal iaitu 5.30 pagi hingga 11 malam, manakala bas perantara Congestion Alleviation Transport (CAT) dan Central Area Transit (CAT) Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) masih belum beroperasi,” katanya ketika ditemui pada sesi turun padang bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Lebuh Campbell dekat sini pagi tadi.

 

Turut hadir, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Shabuddin menyatakan bahawa dalam tempoh Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang Fasa 2, Rapid Penang turut meneruskan kawalan pergerakan penumpang merangkumi penjarakan sosial, menghadkan jumlah penumpang, saringan suhu badan dan juga termasuk proses pensanitasi bas.

 

Dalam pada itu, sejurus lawatan ke deretan kedai sepanjang Lebuh Campbell, Kon Yeow menjangkakan pemulihan sektor ekonomi di Pulau Pinang bakal memerlukan sedikit masa tertakluk kepada keadaan wabak COVID-19.

 

“Kalau masih ada kes-kes, ramai masih akan berwaspada, jadi kita perlu memberi masa untuk melihat kesan pembukaan semula sektor ekonomi sebelum benar-benar melihat hasilnya,” ulasnya.

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa beliau mendapati walaupun kebanyakan sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi hari ini, namun masih tidak ramai pemilik premis mengambil kesempatan itu.

 

“Ini sesuatu yang normal, kerana pekedai-pekedai pun perlu menyesuaikan diri dengan norma yang baharu.

 

“Kita berharap pembukaan semula akan berjalan lancar dengan keadaan ekonomi semakin pulih dan serentak itu, kita harap pemilik premis dapat melaksanakan dasar penjarakan sosial dalam kedai masing-masing dan langkah-langkah pencegahan perlu lain demi keselamatan semua,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : ALISSALA THIAN