PIHEC penting letak P. Pinang destinasi halal global – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa ‘rencah’ kari dan rempah yang banyak digunakan dalam masakan negeri ini seperti nasi kandar, nasi dalca dan makanan-makanan jalanan dapat mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi makanan halal di mata dunia.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) Ke-Enam di Subterranean Penang International Convention & Exhibition Centre (SPICE) di sini baru-baru ini.

“Sejak mula dianjurkan pada 2009, saya dapati PIHEC menjadi salah satu ekspo terpenting bukan sahaja di wilayah utara, tetapi juga di Malaysia.

“Serentak itu, kemajuan sektor halal di Pulau Pinang dilihat menarik lebih daripada RM480 juta pertumbuhan pelaburan modal sejak ditubuhkan empat tahun lalu di Taman Perindustrian Halal, Batu Kawan.

“Pembangunan dan pelaburan ini berjaya meletakkan Pulau Pinang sebagai antara destinasi halal yang global. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pengerusi PIHEC, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan pasukannya,” ucap beliau pada majlis berprestij berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Penganjuran PIHEC 2015 oleh syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Halal Penang mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya, ‘Festival Kari Sedunia’ yang kebiasaannya yang hanya dianjurkan di Bradford, England berjaya ‘dibawa’ ke Pulau Pinang.

Turut menjadi daya tarikan adalah kehadiran chef terkemuka kelahiran Pulau Pinang, Norman Musa yang berjaya menempa nama di Manchester, England melalui restoran masakan Malaysia milik beliau.

Dalam pada itu, Abdul Malik menyifatkan kejayaan penglibatan 307 gerai pada penganjuran PIHEC 2015 adalah penyertaan terbesar setakat ini.

“Bertemakan Festival Kari Sedunia, kita (PIHEC) menerima banyak penyertaan antarabangsa antaranya dari Belgium, Switzerland, Pakistan, Thailand, Jepun dan England,” jelas beliau.

Serentak itu, chef-chef dan jemputan khas turut diraikan dalam Majlis Makan Malam Gala Festival Kari Dunia yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Idea penganjuran PIHEC adalah dicetuskan Guan Eng hasil lawatan beliau ke Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2009 di Kuala Lumpur yang mana tiada penglibatan wakil-wakil dari negeri Pulau Pinang.

if (document.currentScript) {