GEORGE TOWN: Penganjuran Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026) yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun ini dijangka menjadikan Pulau Pinang sebagai tumpuan kepada pemain industri dan pelabur sektor ekonomi halal.
Ekspo antarabangsa kali ke-16 itu akan berlangsung di Padang Politeknik Seberang Perai (PSP), bermula jam 10 pagi hingga 8 malam yang mana majlis perasmiannya dijangka disempurnakan pada 20 Jun 2026 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim.
Malah, penganjuran PIHEX 2026 dijangka menghimpunkan antara 200 hingga 250 reruai pameran membabitkan kementerian, jabatan, agensi kerajaan, institusi kewangan, institusi pengajian tinggi, pihak swasta, pemain industri serta pedagang luar negara.
Turut dijadualkan hadir adalah Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow bersama barisan Jemaah Menteri Persekutuan, kepimpinan Exco Kerajaan Negeri serta ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP), Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penganjuran PIHEX 2026 adalah berkonsepkan ‘business to consumer’ (B2C) dengan elemen ‘business to business’ (B2B) bertaraf antarabangsa.
“PIHEX 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi halal selain memperluaskan jaringan perdagangan dan pelaburan melibatkan pemain industri dari dalam dan luar negara.
“Malah, ia turut menjadi medium bagi mengiktiraf pencapaian kerajaan negeri dalam memperkasa industri halal termasuk peningkatan penyertaan Pensijilan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta pertumbuhan nilai eksport industri berkenaan.
“Selain itu, kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen penuh bagi menjayakan PIHEX 2026 selaras usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi negeri khususnya dalam sektor halal, keusahawanan, pemerkasaan bumiputera serta perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, ekonomi halal adalah antara teras penting dalam Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI2030), dan Kerajaan Negeri kini sedang membangunkan pelan induk khusus yang selaras dengan Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 bagi memacu industri ini ke tahap lebih tinggi.
“Dalam masa sama juga, PIHEX 2026 bakal tampil dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang, Biz-Francais@PIHEX 2026, Karnival Kerjaya GigNation MADANI, Malam Himpunan Belia Islam Pulau Pinang, Penang HALAL Explorace 2026 serta demonstrasi dan promosi produk halal.
“Malah ia (PIHEX 2026) juga bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi pengenalan majlis serahan Pensijilan Halal Kotej sebagai pengiktirafan kepada usahawan mikro yang berjaya memperoleh sijil Halal Malaysia.
“Selain itu, sebanyak 250 cabutan bertuah turut disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran ekspo berkenaan,” jelasnya.
Mohamad menyatakan bahawa inisiatif berkenaan diyakini mampu meningkatkan keyakinan pengguna selain memperkukuh integriti industri halal negara di peringkat global.
“Dalam perkembangan sama, PSP turut memperkukuhkan pembangunan modal insan menerusi peluncuran Pusat Latihan Halal Madani C@logs serta penganjuran Karnival Kerjaya GigNation MADANI 2026 dengan kerjasama Wakaf MAINPP.
“Antara fokus utama inisiatif itu adalah pembangunan bakat TVET dalam sektor halal dan kerjaya gig menerusi latihan ‘re-skilling’ serta ‘up-skilling’ berteraskan teknologi IR4.0 dan pematuhan syariah,” ulasnya lanjut.
Masuk adalah percuma dan kemudahan parkir turut disediakan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Penang Halal International (PHI) di talian 04-262 5444 atau emel ke [email protected].
Oleh : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar : IHSAN PIHEX2026