PIL1 bentuk Sistem Penyuraian Trafik lebih efisien di kawasan pulau – KM

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berharap kesesakan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (LCE) dapat dikurangkan apabila Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) dibuka sepenuhnya kepada kenderaan awam kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, PIL1 adalah sebuah komponen penting dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) kerana pembangunan pengangkutan awam sahaja tidak mampu untuk mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang.

“Penggunaan lebuhraya LCE telah pun mencapai peringkat maksima dengan tahap perkhidmatan di skala F (forced flow).

“Keadaan ini disebabkan kawasan berbukit-bukau di tengah-tengah pulau hingga memaksa kenderaan bergerak ke arah timur di sepanjang jalan-jalan tempatan yang sudah pun sedia ada sesak.

“Jika lebuhraya alternatif ini tidak di bina, kesesakan akan bertambah teruk,” ujarnya yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada Sesi Townhall Cadangan Lebuhraya PIL1 di SPICE Convention Center sebentar tadi.

 

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC), Yeo Bee Yin turut berucap pada forum terbuka tersebut selaku tetamu jemputan kehormat.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Parlimen; Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Ahmad Kamarulnajib dan wakil dari rakan pelaksana projek, Wiranda (M) Sdn. Bhd..

Atas dasar itu, Kon Yeow memberitahu bahawa PIL1 akan berfungsi untuk mengalihkan trafik serantau dari hab-hab pekerjaan dan kediaman berketumpatan tinggi di Bayan Lepas ke Persiaran Gurney.

“Untuk kurangkan kesesakan lalu lintas, trafik di sepanjang lebuhraya utama yang menghubungkan utara-selatan Pulau Pinang iaitu lebuhraya LCE perlu dikurangkan dengan trafik dialihkan ke jajaran alternatif.

“Setelah siap kelak, kenderaan dapat menyusur masuk lebuhraya PIL1 ini melalui enam persimpangan yang terletak di lokasi strategik.

“Ini membentuk Sistem Lingkaran Penyuraian Trafik yang lebih efisien di kawasan pulau, malah pengangkutan awam seperti bas perantara juga akan berfungsi dengan lebih cekap tanpa perlu melalui kesesakan lalu lintas,” ucap Kon Yeow sambil memaklumkan bahawa penganjuran forum berkenaan adalah bukti ketelusan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada orang ramai dalam memahami keperluan rakyat.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan orang awam hadir pada forum tersebut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG