Pilihan bijak SAM & AVIATRON

Admin

 

BUKIT MINYAKSingapore Aerospace Manufacturing (SAM) telah memperoleh kontrak jangka panjang daripada Goodrich untuk menghasilkan bahagian aero-struktur nacelle (ASN) bagi Boeing 787 Dreamliner, Airbus 350 XWB, Bombardier C Series dan Mitsubishi Regional Jet.

Bahagian ASN akan didirikan di tapak pengilangan baru bertempat di Penang Science Park. Kos dijangka mencecah RM200 juta di atas tanah seluas 150,000 kaki persegi dilengkapi dengan mesin berteknologi tinggi dari Amerika Syarikat dan Jerman.

Di Majlis Pecah Tanah oleh anak syarikat SAM iaitu Aviatron (M) Sdn. Bhd., Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa SAM telah membuat pilihan tepat dengan memilih Pulau Pinang sebagai tapak untuk membina pelan kilang tiga fasa tersebut.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja menjadi pilihan pelabur-pelabur asing sejak dahulu lagi malah turut tersenarai sebagai negeri yang mempunyai jumlah pelabur tertinggi di Malaysia. Malah Pulau Pinang turut menyumbang sebanyak 36% jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, SAM menyatakan bahawa pembinaan Fasa I dan Fasa II akan membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada lebih 300 pekerja. Selain itu, perkembangan positif industri aeroangkasa di jangka dapat menjana pelaburan ekonomi sebanyak RM16 bilion dan mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan.

Turut hadir sama di majlis tersebut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapha Mohamed, Pengerusi SAM, Philip Yeo, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Lee Kah Choon, Pengarah SAM Pulau Pinang, Loh Chuk Yam dan Pengurus Besar InvestPenang, Loo Lee Lian.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi, Ann Tan di talian 04-614 7611 atau 012-495 5600 atau emel di [email protected] atau layari http://www.sam.sg.