PPWE terus hangat

Admin

 

GEORGE TOWN – Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) terus menjadi topik perdebatan hangat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke–12 di sini.

Pada persidangan hari ketiga DUN , pihak pembangkang diketuai Pemangku Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, di dalam satu sidang akhbar mendakwa bahawa pihaknya telah mendebitkan sejumlah wang bernilai RM23,700 yang dikembalikan oleh sekumpulan warga emas ke dalam akaun Kerajaan Negeri pada 22 Disember tahun lalu.

Difahamkan, pendebitan wang tersebut telah dilakukan di dalam empat transaksi pukul 8 malam pada tarikh berkenaan.

Ekoran dakwaan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri untuk mengeluarkan satu cek dengan jumlah RM23,700 kepada Pemangku Ketua Pembangkang.

Kita tidak ingin menerima wang tersebut kerana kita tidak tahu sumber wang tersebut. Kita tidak tahu sama ada wang ini haram ataupun halal. Mungkin ada orang jahat yang mendebitkan wang tersebut dan mungkin juga ia wang rasuah.

Justeru, terpulang kepada UMNO untuk menguruskan wang tersebut,’’ katanya ketika mengulas isu berbangkit di dalam sidang akhbar di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menegaskan bahawa cara pemulangan wang PPWE yang dilakukan oleh UMNO adalah tidak mengikut prosedur ditetapkan Kerajaan Negeri.

Ini terbukti bahawa UMNO mempunyai niat politik dalam kempen di lain-lain negeri kerana Kerajaan Negeri telah memaklumkan mengenai cara yang betul untuk memulangkan wang PPWE.

Sebagai tambahan, sehingga kini, pihak Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang dokumen daripada pihak-pihak berkenaan,’’ jelas Boon Poh.