PKP, Kerajaan Negeri tunggu kajian semula KKM

Admin

DATOK KERAMAT – Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dinyatakan bakal dilaksanakan membabitkan beberapa negeri susulan peningkatan kes COVID-19.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kebun Lama di sini tadi.

“Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan telah dapat membaca makluman terkini iaitu Kerajaan Persekutuan dan KKM sedang mengkaji semula penguatkuasaan PKP di negeri-negeri tertentu (termasuk Pulau Pinang).

“KKM bercadang menggunakan sains serta data untuk menyokong apa-apa keputusan, dan ia bengantung kepada keadaan pandemik kini yang mana baru-baru ini kementerian (KKM) mengumumkan akan menggunakan kaedah maklumat dalam aplikasi MySejahtera untuk menjana keputusan.

“Ia adalah Hot Spot Identification Pandemic Engagement untuk memberi ramalan apa yang akan berlaku di satu-satu lokasi bagi menentukan PKP, PKP (Bersyarat), PKP (Diperketatkan), maka kita (Kerajaan Negeri) menunggu keputusan baharu kementerian itu,” ujarnya lanjut.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perangcangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kebun Lama, Izwannizam Abdul Kader.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota dalam pada itu menyeru pimpinan institusi setempat dapat menggerakkan kempen kesedaran pendaftaran vaksin dalam memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini.


Pada masjlis sama, seramai 150 asnaf sekitar kawasan Kebun Lama menerima bantuan keperluan harian benilai RM50 setiap seorang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : LAW SUUN TING