PKP seluruh negara jejaskan perniagaan dan urusan harian, kata responden

Admin

Tidak dinafikan bahawa penularan pandemik COVID-19 di negara ini termasuk Pulau Pinang kini semakin serius. Lantaran itu, Perdana Menteri telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

 

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar CHAN KOK KUAN berkesempatan menemu bual beberapa responden untuk mendapatkan respons mereka mengenai pelaksanaan PKP di seluruh negara ini.

Muhamad Isma (kiri), Zalihatul Hajar (tengah), Muhamad Hanif (kanan)

Bagi ZALIFATUL HAJAR, 48, sebagai peniaga, beliau merasa terkesan akan pelaksanaan PKP tersebut kerana khuatir perniagaan akan terjejas dan merudum.

 

“Tidak ramai pelanggan yang boleh keluar untuk membeli-belah dan sebagainya, tambahan lagi dengan sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan-kawasan tertentu, telah menyukarkan lagi pergerakan orang awam.

 

“Perjalanan saya ke sini dari Seberang (Perai) juga agak sukar dek kerana terlibat dalam keadaan lalu lintas yang semakin sesak nak dibandingkan dengan sewaktu PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat),” katanya yang menjual produk kosmetik dan kecantikan.

 

MUHAMAD ISMA HILMI, 24, pula menyuarakan pandangannya mengenai pergerakan setiap orang kini semakin terbatas kerana sekatan jalan raya yang dijalankan telah melambatkan perjalanan dan urusan mereka.

 

“Dengan pelaksanaan PKP 3.0 akan menyebabkan kami kehilangan pelanggan yang datang berkunjung, jika dilihat sekarang, orang awam sudah semakin berkurangan di kawasan ini.

 

“Tambahan pula dengan adanya sekatan jalan raya, pergerakan setiap mereka akan lebih terbatas dan kesesakan lalu lintas hanya akan mengganggu perjalanan dan urusan masing-masing,” jelasnya lagi.

 

MUHAMAD HANIF, 23, pula menyatakan pendapat beliau tentang sambutan Aidilfitri akan membawa suasana yang berbeza dengan pelaksanaan PKP di seluruh negara ini.

 

“Solat Sunat Raya Aidilfitri pada tahun ini juga ditetapkan terhad bagi umat Islam yang ingin mengerjakan ibadat, kepada yang ingin pulang ke kampung halaman juga terpaksa membatalkan niat mereka.

 

“Oleh itu, saya berharap agar pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara ini dapat menurunkan angka kes COVID-19 supaya kita dapat meneruskan kembali kehidupan seperti dulu,” ujar beliau lagi.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : CHAN KOK KUAN