Tinjauan : Pengunjung ke taman rekreasi utama bahagian pulau menurun

Admin

PAYA TERUBONG – Walaupun tiga taman rekreasi utama di kawasan pulau dibenarkan beroperasi, namun kehadiran pengunjung didapati menurun.

 

Tiga lokasi tersebut adalah Taman Belia, Taman Botani dan Taman Metropolitan, Relau.

Menurut Pengawal Keselamatan di Taman Meteropolitan, Relau, Muhamad Radzi Abdul Rahim, langkah tersebut mungkin sebagai langkah berjaga-jaga daripada orang ramai setelah daerah Timur Laut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

 

“Mula dari hari pertama memang orang sudah tidak ramai ke sini, mungkin bimbang dengan kadar jangkitan COVID-19, dengan nak raya lagi, lebih baik ambil langkah selamat duduk di rumah.

 

“Kalau ikut prosedur operasi standard pun memang saya benarkan kira-kira 50 orang sahaja pada satu-satu masa,” ujar beliau yang ditugaskan menjaga taman tersebut dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Seorang pengunjung, Lee Kang Ngoh memulakan rutin harian bersenam di taman sama juga senada dengan Muhamad Radzi.

 

“Kalau tidak memang meriah sini pagi, namun lepas PKP diumumkan saya pilih untuk darang lewat, bimbang kalau awal sangat orang ramai, lebih bahaya, lagi pun saya seorang warga emas,” maklum beliau yang tinggal di Alor Vista.

Bagi Yeoh Kean Kee yang datang bersama cucunya, tetap mahu meneruskan riadah walaupun dalam keadaan PKP.

 

“Saya suka datang sini, orang tidak terlalu padat di sini jadi risiko itu kurang.

 

“Jika hari biasa asa tiga kumpulan zumba, aerobik di sini, lepas PKP tiada lagi,” maklum beliau yang tinggal di kawasan berhampiran.

Dalam satu tinjauan berasingan di Taman Botani, Stanley Chew berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri yang masih membenarkan beberapa taman rekreasi dibuka dengan prosedur operasi standard yang ketat.

 

“Dalam perang melawan COVID-19, penting untuk tubuh kita mempunyai imunisasi yang kuat.

 

“Salah satu caranya adalah dengan melakukan senaman yang merupakan salah satu cara terbaik meningkatkannya.

 

“Dengan SOP yang ketat kita masih boleh lakukan senaman, hirup udara segar dan ini lebih bagus berbanding PKP 1.0 tahun lepas,” katanya kepada Buletin Mutiara.

K. Elangovan ketika ditemui di Taman Belia dalam pada itu juga sependapat dengan Stanley Chew

 

“Namun saya harap MBPP dapat pantau lagi dalam taman kerana masih ada yang jalan berdekatan satu sama lain.

 

“Kita sepatutnya mematuhi SOP dan berterima kasih kerana pihak berkuasa masih benarkan aktiviti di lokasi ditetapkan,” katanya lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & EDMUND LEE TATT WENG