PKPB: Keputusan dibuat berdasarkan fakta, patuhi SOP

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap seluruh rakyat Pulau Pinang dapat menyambut musim perayaan Deepavali secara sederhana, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh 9 November hingga 6 Disember ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) petang tadi berhubung pelaksanaan PKPB di semua negeri kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

“Keputusan telahpun dibuat berdasarkan fakta… kita (Pulau Pinang) perlu menerima hakikat bahawa situasi semasa ini memang memerlukan pelaksanaan PKPB.

“Berbanding PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), PKPB adalah tidak begitu ketat yang mana aktiviti ekonomi masih boleh diteruskan, cuma aktiviti keagamaan serta (aktiviti) sosial sahaja mesti mengikut garis panduan SOP,” jelasnya dalam sidang media selepas berucap pada majlis penyampaian pek bantuan sara hidup kepada golongan terpilih sempena sambutan Deepavali dekat Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Pulau Pinang di sini pada 7 November 2020.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) bagi COVID-19 memberitahu bahawa pentadbirannya langsung tidak dimaklumkan dengan lebih awal sehingga pelaksanaan PKPB diumumkan pada petang tadi.

Justeru, beliau menyatakan bahawa mesyuarat JKKNPP yang dijadualkan pada hari Isnin ini akan terus membincangkan mengenai kaedah-kaedah penguatkuasaan SOP PKPB di seluruh negeri ini.

Sementara itu, inisiatif Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Negeri Pulau Pinang saban tahun mengagihkan pek bantuan sara hidup kepada golongan terpilih sempena musim perayaan Deepavali mendapat pujian daripada Kon Yeow.

“Majlis sumbangan sempena Deepavali prihatin daripada Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Negeri Pulau Pinang pada hari ini telah dirancang untuk tahun yang kelima.

“Saya difahamkan bahawa sumbangan hari ini adalah membabitkan 100 pek sumbangan dengan nilai setiap satu adalah sebanyak RM180, terima kasih dan tahniah kepada MAICCI,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD