Belanjawan 2021: Ketua Menteri nasihat hasrat ‘menghidupkan’ JASA dinilai semula

KATUA Menteri semasa menyampaikan ucapan dalam majlis agihan pek bantuan kepada golongan terpilih sempena Deepavali, anjuran MAICCI di sini pada lewat petang tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menasihatkan Putrajaya supaya menilai semula cadangan peruntukan Persekutuan sejumlah RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 Kerajaan Pusat di Dewan Rakyat semalam.

KETUA Menteri

Menurut beliau, usaha menghidupkan kembali ‘unit propaganda politik’ tersebut disifatkan bertentangan dengan semangat perpaduan semua pihak bagi membebaskan negara daripada ancaman COVID-19, sekarang.

“Sebelum ini, jabatan ini nampak sebagai suatu unit ‘propaganda politik’.

“Sekiranya itu tujuan JASA ditubuhkan, maka saya percaya dalam tempoh ini yang mana seruan untuk perpaduan dilaung-laungkan, maka, ini membelakangkan niat untuk menyatupadukan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Jadi, kita minta peranan JASA dinilai semula untuk memupuk perpaduan dan bukan mewujudkan perbezaan sert pepecahan,” jelasnya selepas merasmikan acara penyampaian pek bantuan sara diri kepada golongan terpilih sempena sambutan Deepavali dekat kompleks Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia Pulau Pinang di sini pada 7 November 2020.

Pun begitu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini masih berharap Belanjawan tersebut akan membawa manfaat kepada penduduk Pulau Pinang pada tahun hadapan.

“Perkara paling penting tentulah kita (Pulau Pinang) mahu lebih besar lagi peruntukan dengan mengambil keadaan keseluruhan (ekonomi pasca pandemik COVID-19) ketika ini terutama berkaitan kebajikan rakyat untuk meneruskan hidup.

“Tentunya belanjawan ini boleh merangsang pertumbuhan ekonomi, kita (Pulau Pinang) mengalu-alukannya, tetapi keutamaan sekarang adalah untuk memastikan kejayaan terus ada dan diwujudkan, kebajikan untuk rakyat diteruskan serta pertumbuhan ekonomi boleh dirangsang dengan lebih cepat lagi.

“Semestinya juga pelaksanaan projek sebagai salah satu kaedah merangsang pertumbuhan ekonomi, kita (Kerajaan Negeri) harap perkara yang dirancangkan, perkara itu dapat dilaksana untuk rakyat Pulau Pinang,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dokumen Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen, antara lain dilaporkan menyatakan sejumlah RM81.5492 juta diperuntukkan mengikut butiran 050100, bagi program perluasan JASA.

Peruntukan yang terkandung dalam kepala bekalan 47, Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu, sekali gus mengundang persoalan pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan pembangkang, memandangkan pandemik COVID-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama, mengikut situasi semasa.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD