Polis puji KN prihatin balu wira negara

KETUA Menteri sambil dipersaksikan oleh Mohd. Rashid Hasnon (empat dari kiri) dan Abdul Rahim Hanafi (paling kanan) menyerahkan sumbangan kepada Atiqah Mohd. Rosdi (tiga dari kiri) pada majlis khas di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyerahkan sejumlah sumbangan kepada balu Sarjan Zal-Asri Abd. Somad atas keperwiraan Allahyarham membanteras jenayah di negara ini.

 

Mohd. Rosdi bersama Mohamad Atiqullah Zal-Asri.
Mohd. Rosdi bersama Mohamad Atiqullah Zal-Asri.

 

“Beliau meninggal dunia semasa menjalankan tugas. Apabila kita tahu, kita ingin menyampaikan sumbangan. Ucapan takziah kepada balu,” ujarnya pada majlis sidang media penyampaian sumbangan khas di sini baru-baru ini.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Abdul Rahim Hanafi (Ketua Polis Pulau Pinang) turut sertai sidang media itu.

 

Mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Abdul Rahim merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri.

 

“Saya mewakili Ketua Polis Negara, seluruh keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri kepada pasukan polis.

 

“Ini menunjukkan suatu keprihatinan yang cukup baik untuk seluruh masyarakat serta pasukan polis di Pulau Pinang,” katanya.

 

Balu, Atiqah Mohd. Rosdi, 29, yang ditemui kemudian melahirkan rasa terharu atas sumbangan yang diterimanya.

 

“Saya rasa terharu…arwah berjasa untuk negara. Terima kasih kepada kawan-kawan arwah, PDRM dan Kerajaan Negeri kerana banyak memberi sokongan moral,” ujar Atiqah, sebak.

 

Dalam kejadian baru-baru ini, Zal-Asri, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka maut di tempat kejadian akibat dihentak dengan objek keras disyaki batu ketika cuba memberkas seorang penjenayah yang cuba melarikan diri dalam serbuan Ops Lejang di sebuah kilang besi buruk di Taman Teknologi Cheng, Melaka.

 

Allahyarham, 31, meninggalkan dua anak lelaki, Mohamad Habibullah, 4, dan Mohamad Atiqullah, enam bulan.