Polisi keterangkuman gender diteruskan, arusperdanakan di peringkat nasional

Admin

KERAJAAN Negeri baru-baru ini melaksanakan penyusunan dan penjenamaan semula portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang berkuat kuasa 15 September 2020.

Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam di bawah pimpinan Chong Eng antara yang dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai portfolio Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Chong Eng memberitahu bahawa penjenamaan semula portfolio di bawah pimpinan beliau menjadikan skop kerja yang dipertanggungjawabkan kini adalah lebih luas berbanding sebelumnya.

“Contohnya, sebelum ini tumpuan saya hanya kepada hal-hal mengenai wanita tetapi sekarang saya juga boleh bekerja dengan pelbagai agensi, jabatan atau pihak-pihak berkaitan dalam bidang pendidikan terutamanya untuk memastikan keseimbangan gender di sekolah.

“Mungkin kita boleh melihat bagaimana untuk meningkatkan jumlah guru lelaki di sekolah yang kini didominasi oleh golongan wanita atau mungkin kita boleh melihat kepada kesamarataan gender dalam perjawatan guru besar atau kokurikulum.

“Termasuk dalam (porfolio) Pembangunan Sosial juga adalah aspek fasiliti untuk kumpulan berbeza dalam komuniti seperti golongan warga tua yang dijangka meningkat pada masa akan datang, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya,” katanya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Beberapa dasar pemerkasaan gender yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.

Mengenai kebimbangan pihak-pihak tertentu berhubung agenda wanita yang kini tidak lagi di bawah portfolio khas sepertimana sebelum ini, Chong Eng menegaskan bahawa fokus terhadap agenda memperkasakan wanita termasuk keterangkuman gender akan terus diberi penekanan.

“Semua polisi dan program berkaitan keterangkuman gender yang diperkenalkan seperti Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender (GRPB) akan tetap diteruskan dalam sebarang pelaksanaan program atau projek di negeri ini.

“Tujuan penjenamaan semula (portfolio) hanya untuk memperluaskan skop kerja, contohnya berkaitan taman asuhan kanak-kanak (Taska) adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308).

“Justeru, sebelum ini, segala perkara berkaitan Taska adalah bawah portfolio Kebajikan dan Masyarakat Penyayang dan kini berada di bawah tanggungjawab saya.

“Sebelum ini juga, apa sahaja masalah berkaitan Taska akan dirujuk kepada saya tetapi sukar untuk saya mencari jalan penyelesaian kerana Taska adalah di bawah portfolio Exco lain,” jelasnya.

Selain itu, kata Chong Eng, tumpuan turut diberikan kepada isu pembuangan bayi termasuk penubuhan pusat jagaan kanak-kanak yang dilihat mempunyai hubung kait rapat dengan pembangunan kekeluargaan.

“Sekiranya Kerajaan Negeri mahu melaksanakan undang-undang baru berkaitan pembuangan bayi, kita tidak boleh hanya wujudkan undang-undang semata-mata sebaliknya perlu menyediakan fasiliti yang lengkap.

“Oleh itu, melalui portfolio baru ini, saya boleh memainkan peranan yang lebih besar kerana masalah sosial juga berkait rapat dengan keluarga dan wanita,” ulasnya.

Lebih penting lagi kata Chong Eng, adalah bagaimana untuk mengarusperdanakan isu-isu berkaitan hal ehwal wanita di peringkat nasional.

“Sekiranya melalui pelaksanaan dasar maka kita perlu juga memerlukan penginstitusian agar gerak kerja boleh diselaraskan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN