Polisi larangan untuk mendidik perokok peka keadaan sekeliling, bukan tangkap perokok – Exco

Admin

PULAU BETONG – Polisi kerajaan tentang larangan merokok di premis makanan merupakan tindakan mendidik perokok ke arah kehidupan lebih positif dan peka dengan keadaan sekeliling mereka, ujar Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Menurut Afif, polisi tersebut juga mampu mengubah tabiat dan tanggapan pengamalnya bahawa amalan merokok di premis makanan bukanlah tingkah laku normal.

“Ada orang tanya kenapa penguatkuasa tidak datang ke kedai-kedai buat pemeriksaan, saya cakap polisi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini bukan nak tangkap orang tetapi kita cuba jadikan satu kebiasaan yang baharu.

“Ambil contoh di Jepun, saya dan delegasi saya ke sana, ada (delegasi) yang merokok tetapi tanpa disuruh atau dipaksa oleh polis Jepun pun, mereka ini boleh merokok di kawasan khas bahkan bawa paket kecil ke mana-mana untuk buang puntung rokok.

“Itu beza dia, kita buat bukan untuk tangkap orang tetapi nak ubah kebiasaan perokok ini, kita pun tidak pernah halang perokok dari nak merokok,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 & Pelancaran Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Balik Pulau baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim dan Pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

Menurut Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, kira-kira 123 kawasan di seluruh negara telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

“Dari pemerhatian, saya rasa pematuhan larangan tiga meter merokok dari premis makanan ini memuaskan, banyak perokok akur dengan arahan tersebut jika ada pun selalunya yang orang mengadu lepas pukul 12malam,” ujarnya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI