Pondok telefon lama diubah suai menjadi perpustakaan mini

SIAPA sangka pondok telefon lama yang terbiar sejak sekian lama di tengah-tengah bandar raya bersejarah George Town kini berubah menjadi perpustakaan mini yang menarik serta bermanfaat kepada orang awam.

Terletak di sepanjang Lebuh Pantai, perpustakaan mini tersebut bukan sahaja menjadi tempat tumpuan orang ramai bagi mendapatkan bahan bacaan, malah turut menjadi lokasi pilihan untuk bergambar kenang-kenangan.

Projek pengubahsuaian pondok telefon usang kepada perpustakaan mini berwarna-warni itu merupakan hasil inisiatif oleh Penggerak Komuniti Muda (PEKA) iaitu sebuah program berkaitan pendidikan yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Joshua Woo Sze Zeng antara penggerak utama projek pengubahsuaian pondok telefon lama menjadi perpustakaan mini.

Pengarah Eksekutif PEKA Pulau Pinang, Joshua Woo Sze Zeng ketika ditemui berkata bahawa objektif utama pelaksanaan projek itu adalah untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda.

“Secara keseluruhannya, terdapat lima buah pondok telefon awam lama yang telah diubah suai menjadi perpustakaan mini.

“Tiga daripada perpustakaan mini ini adalah terletak di bahagian utara Lebuh Pantai manakala dua lagi masing-masing di Gat Lebuh Gereja dan Lebuh China.

“Melalui inisiatif ini, orang ramai boleh membaca, meminjam, menukar atau menderma buku mereka untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat,” katanya kepada Buletin Mutiara dalam wawancara khas 24 Januari lalu.

Menurut Sze Zeng, idea untuk menggerakkan projek tersebut muncul pada tahun 2019 lagi apabila beliau melihat beberapa pondok telefon lama yang terbiar di Lebuh Pantai berhampiran dengan balai polis.

“Pondok telefon awam ini dalam keadaan usang dan tidak boleh digunakan lagi yang mana secara tidak langsung telah mencacatkan pemandangan kerana ia berada di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town.

“Pada masa itu, saya merasakan bahawa saya perlu melakukan sesuatu untuk mengubah pemandangan ini.

Perpustakaan mini terletak di Lebuh Pantai yang dicat dengan pelbagai warna.

“Dan selepas lama berfikir dan mengkaji, saya memutuskan untuk mengubah pondok telefon lama ini menjadi sebuah perpustakaan mini demi manfaat semua.

“Walau bagaimanapun, kami tidak mahu mengubahnya menjadi perpustakaan mini biasa, sebaliknya mahu menjadikannya lebih kreatif untuk menarik minat orang ramai terutama golongan muda.

“Justeru, kami mengecat kesemua lima pondok telefon lama dengan pelbagai warna menarik seperti kuning, merah, biru dan merah jambu untuk menarik perhatian orang ramai ke perpustakaan mini ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Sze Zeng menzahirkan rasa gembira kerana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang merupakan pemilik bagi kesemua pondok telefon lama berkenaan turut bekerjasama dengan PEKA bagi menjayakan projek pengubahsuaian itu.

“Selepas mendapat kelulusan MBPP, kami mula menghias pondok telefon itu pada tahun awal 2020 tetapi tertangguh selama hampir dua tahun kerana pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19.

“Namun, selepas tamat PKP, kami akhirnya berjaya menyiapkan perpustakaan mini ini pada akhir tahun lalu.

salah satu pondok telefon yang diubah suai.

“Kami gembira kerana MBPP menyukai idea kami,  malah mereka juga turut membantu menghias pondok telefon lama seperti menyediakan port USB dan lampu untuk membolehkan orang ramai mengunjungi perpustakaan mini ini pada waktu malam.

“Kos keseluruhan bagi projek pengubahsuaian adalah sekitar RM9,000 manakala reka bentuk perpustakaan ini dibuat tanpa  mengubah struktur pondok telefon sedia ada.

“Kami hanya membersihkan pondok telefon ini, membuang sistem pendawaian yang rosak serta bahagian-bahagian yang tidak diingini, mengecat, dan kemudiannya memasang rak yang dicat menggunakan cat akrilik.

“Semua buku yang diletakkan di sini pula adalah disumbangkan oleh orang ramai,” katanya lagi.

Dalam wawancara itu juga, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan vandalisme di perpustaakaan mini berkenaan.

“Sebelum ini, terdapat beberapa aktiviti vandalisme di perpustakaan mini dan perkara ini amat menyusahkan kerana kami perlu mengecat dan membaiki semula mana-mana bahagian yang rosak atau hilang.

“Jadi, kami menggesa orang ramai supaya lebih menghargai perpustakaan mini awam yang disediakan ini dengan menggunakannya dengan betul.

“Ada juga kes di mana buku-buku di sini dicuri, tetapi sekiranya buku yang dicuri itu dapat menyemai tabiat membaca dalam kalangan mereka yang mencuri, saya secara peribadi tidak kisah kerana kita telah berjaya mencapai objektif iaitu menyemai tabiat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.

Joshua Woo Sze Zeng ketika ditemui Buletin Mutiara.

Tambahnya lagi, sejak projek perpustakaan mini tersebut siap, ia telah menjadi tempat yang popular untuk orang ramai mengambil gambar kenang-kenangan.

“Ia sekali gus dapat mempromosikan lagi Pulau Pinang dari segi aspek pelancongan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai rancangan masa depan berkaitan projek tersebut, Sze Zeng berkata beliau merancang untuk mengubah suai lebih banyak pondok telefon lama menjadi perpustakaan mini di beberapa lagi lokasi di negeri ini termasuk di Seberang perai.

“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti empat lokasi baharu untuk kami melihat kemungkinan bagi menjalankan projek pengubahsuaian ini yang mana salah satu lokasinya adalah di Bukit Mertajam,” katanya mengakhiri bicara.

Bagi mereka yang berminat untuk menderma buku atau bahan bacaan lain boleh hubungi Lester Tan (Adam Lester) di talian 011-2409 5881.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN