Poster kreatif dapat RM2,000!

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN– Acara tahunan, Pertandingan melukis poster Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2014 kini kembali dengan tawaran hadiah wang tunai bernilai RM2,000.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang berkata, peserta yang tampil dengan poster menarik dan kreatif akan memperoleh RM2,000 manakala tempat kedua, RM1,000.

“Pada tahun ini, kita (Kerajaan Negeri) mengalu-alukan sesiapa saja yang mempunyai kreativiti sendiri untuk menyertai pertandingan melukis poster tanpa dibayangi reka bentuk terdahulu.

“Pada tahun lalu (2013), kita menerima kira-kira 100 penyertaan, namun, hanya satu lukisan yang benar-benar menarik akan dipilih dan diangkat menjadi poster rasmi penganjuran PBIM 2014 kelak,” ujarnya pada sidang media pengumuman pertandingan tersebut baru-baru ini di sini.

Tambah Heng Kiang, PBIM 2014 bakal berlangsung pada 16 November 2014.

“Kita (Kerajaan Negeri) mempunyai hak sepenuhnya ke atas poster dipilih dan berhak melakukan pengubahsuaian jika difikirkan perlu untuk tujuan publisiti serta poster rasmi penganjuran.

“Berkemungkinan penganjuran kali ini bakal diadakan di Jambatan Kedua Pulau Pinang, bagaimanapun, ia akan diumumkan kemudian,” ujarnya.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Januari ini. Sebarang pertanyaan boleh emailkan kepada [email protected] atau hubungi talian 016 – 411 0000.