PP komited capai status Hijau dan Bersih

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

JAWI – Hari Kitar Semula Kebangsaan disambut meriah di peringkat negeri Pulau Pinang dengan pelbagai aktiviti dijalankan bagi memupuk nilai murni itu dalam kalangan penduduknya di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Tuan Chow Kon Yeow semasa merasmikan majlis tersebut berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik sambutan kitar semula dalam usaha negeri ini mencapai matlamat Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Kerajaan Negeri menghargai penglibatan semua pihak sama ada orang ramai, komuniti mahupun syarikat swasta dalam menjayakan usaha murni ini.

“Tanpa penyertaan daripada komuniti dan masyarakat, usaha ini amat sukar dijalankan jika hanya mengharapkan penglibatan daripada pihak Kerajaan Negeri sahaja,” katanya pada majlis sambutan Hari Kitar Semula Peringkat Negeri Pulau Pinang di
sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pelbagai program telah diperkenalkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi mengurangkan penghasilan sisa buangan di negeri ini.

“Antaranya adalah konsep tiada sampah, iaitu menukarkan penghasilan sampah ini menjadi suatu sumber yang berguna.

“Konsep ini dapat dicapai dengan mengitar semula sisa bahan pepejal seperti kertas, plastik dan tin minuman atau mengasingkan sisa bahan basah untuk dijadikan kompos atau biogas,” ujarnya.

Pada sambutan tersebut, Kon Yeow turut merasmikan Pusat Sumber Alam Sekitar Perkampungan Jawi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Sr. Hj. Rozali Mohamu d (Setiausaha Perbandaran MPSP) dan tiga ahli majlis bagi MPSP, Tan Cheong Heng, Loh Joo Huat dan H’ng Mooi Lye.

Menurut Rozali, MPSP sentiasa aktif menghadiri forumforum antrabangsa bagi menangani isu sisa pepejal.

“Daripada penglibatan MPSP dalam forum antarabangsa itulah kita mendapat idea untuk menganjurkan program-program memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Dengan penganjuran aktiviti-aktiviti seperti urban farming, zero waste composting, kitar semula dan gotong-royong kebersihan, MPSP berjaya mencapai kadar kitar semula sebanyak 32 peratus berbanding sasaran hanya 31 peratus,” jelas beliau.

Sementara itu, turut diadakan adalah Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau MPSP di Perai baru-baru ini.

Sebanyak 86 buah sekolah rendah dan menengah di Seberang Perai menyertai program berkenaan dan dinilai melalui 10 kriteria antaranya, penggunaan sisa makanan, penggunaan minyak masak terpakai, penanaman pokok, penjimatan tenaga dan pengurangan beg plastik.