PPR Mak Mandin siap, tawaran skim RTO serendah RM310 sebulan

JAGDEEP Singh Deo (depan, tiga dari kiri) bersama-sama para penerima surat tawaran Skim Sewa Beli (RTO) Rumah Pangsa PPR Mak Mandin di sini pada 24 April 2021.

SUNGAI PUYU – Satu blok bangunan berstrata dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Mak Mandin yang terdiri daripada 70 unit tiga bilik siap dibina untuk ditawarkan kepada pembeli-pembeli rumah pertama berkelayakan.

JAGDEEP Singh Deo

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo meberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini menerusi Kaedah Sewa Beli (RTO) akan cuba membantu rakyat yang layak untuk memiliki rumah pertama mereka dalam segmen Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A dan Jenis B.

“Bersama-sama kita pada pagi ini adalah sebahagian daripada penerima iaitu 20 orang daripada keseluruhan 70 orang penerima.

“Jumlah terkini unit (kediaman) yang telah ditawarkan adalah sebanyajk 34 unit dengan baki (berbanding baki 36 unit yang akan ditawarkan dalam fasa-fasa berikutnya).

“Jumlah yang perlu dibayar pada setiap bulan adalah sebanyak RM310 selama 19 tahun lima bulan dengan deposit berjumlah RM1,120,” jelasnya yang juga pada Majlis Penyerahan Surat tawaran Skim Sewa Beli Rumah Pangsa PPR Mak Mandin di sini pada 24 April 2021.

PPR Mak Mandin

Susulan siapnya projek PPR Mak Mandin tersebut, Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana menambah jumlah unit PPR berbanding 999 unit sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2009 telahpun membelanjakan kira-kira RM271,207,877.30 untuk kerja-kerja penyelenggaraan kesemua projek perumahan awam dan swasta berkaitan.

Pada majlis ringkas tersebut, turut berucap adalah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR