Projek pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan beri nilai tambah kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang – Kon Yeow

BAYAN LEPAS – Projek pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan (AL-ITQAN) baharu di atas tanah wakaf dekat Kampung Masjid, Teluk Kumbar bakal memberi nilai tambah kepada masyarakat Islam di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebagai sebuah kerajaan yang sememangnya mementingkan aspek pendidikan bagi melahirkan modal insan kelas pertama, isu ini sememangnya sentiasa dekat dan mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan dalam memastikan segala bentuk kemudahan ini dapat disediakan bagi membolehkan akses pendidikan dapat dicapai sama rata tanpa mengira bangsa dan agama.

“Justeru, diharap semua pihak yang terlibat akan memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut garis dan tempoh masa ditetapkan tanpa ada sebarang penangguhan lagi memandangkan permintaan serta tuntutan masyarakat kepada sekolah agama ini adalah sangat menggalakkan.

“Diharap dengan siapnya bangunan ini kelak, ia dapat memberikan keselesaan kepada para guru dan pelajar, malah juga membantu Jemaah Pengurusan Sekolah dalam merangka serta merancang strategi untuk meningkatkan prestasi pendidikan sekali gus sebagai nilai tambah kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Permulaan Kerja Projek Pembinaan AL-ITQAN di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau); Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Pengasas Al-Itqan); Mohd. Zakuan Zakaria (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIPP); Datuk Ooi Kee Liang (Pengarah Kumpulan IDEAL Property) dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdul Aziz ( Pengerusi Jemaah AL-ITQAN).

Projek di atas tanah wakaf seluas tiga ekar tersebut merangkumi empat blok bangunan yang terdiri daripada 51 bilik darjah kondusif serta makmal sains (4). Ia dijangka siap pada penghujung tahun 2022 dan beroperasi sepenuhnya awal tahun 2023.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa pembinaan AL-ITQAN akan dibangunkan oleh IDEAL Property dengan kos RM15 juta bagi memenuhi syarat pembangunan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu telah mengenakan syarat pembangunan kepada pihak pemaju demi memenuhi keperluan pendidikan di negeri ini.

“Pembinaan sekolah ini adalah syarat yang dikenakan kepada IDEAL Property dalam satu permohonan pembangunan rumah PRIMA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) di Daerah Timur Laut (DTL).

“Kelewatan yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan proses permohonan, perancangan serta kelulusan pembangunan rumah PRIMA yang diikat bersama dengan pembangunan sekolah tersebut.

“Memandangkan pihak IDEAL Property sudah mendapat kelulusan pada hujung tahun lalu (2020), maka projek PRIMA tersebut telahpun mula serta pembangunan sekolah ini pun bermula serentak dan kedua-dua projek (PRIMA dan AL-ITQAN) ini seharusnya siap dalam tempoh masa yang sama sebagai tunai syarat,” ulasnya.

Sebagai rekod, AL-ITQAN merupakan sebuah rangkaian terbesar pendidikan aliran agama yang mengurus serta mengelola empat buah institusi di bawahnya bermula peringkat taska hingga ke menengah.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING