PPR Taman Manggis: Penguatkuasaan adalah mengikut undang-undang, tidak timbul sama sekali sentimen perkauman – respons Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini sekali lagi menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil membabitkan 22 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis adalah mengikut undang-undang, tidak timbul sama sekali sentimen perkauman sebagaimana dimainkan segelintir pihak.

“Di dalam kes Taman Manggis, sebenarnya Jabatan Audit Negara pun ada menyoal apakah kaedah dan piawaian yang ditetapkan sehingga Kerajaan Negeri membiarkan perkara ini berlaku sehingg pihak yang sudah hilang kelayakan pun masih dibenarkan untuk tinggal di situ, sebaliknya pihak yang mempunyai kelayakan tidak dapat masuk.

“Walaupun ada pihak yang sengaja memainkan isu perkauman, Kerajaan Negeri tetap akan pastikan tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan kerana kita (Kerajaan Negeri) sentiasa dipantau oleh Jabatan Audit,” ujarnya ketika ditemui pada sesi pemberian bunga sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di sekitar Pasar Chowrasta di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota) dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Walau bagaimanapun, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa sekiranya proses yang dijalankan tersebut mempunyai kelemahan, ia akan ditambah baik dan dikaji semula.

“Selaku Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh tadbir urus yang baik dan cekap untuk melaksanakan dasar serta keputusan, mungkin proses untuk melaksanakan penguatkuasaan keputusan ini kalau perlu ditambah baik, itu perlu dikaji untuk mencapai matlamatnya,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Menurut Kon Yeow, tujuh daripada 22 keluarga yang diusir dengan secara rela telah menyerahkan kembali unit PPR yang didiami kepada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Yang lain ,kita berharap mereka sedar dan faham tentang dasar ini kerana kerajaan pun sudah menyediakan satu tempat untuk mereka duduki dengan bayaran yang mampu dibayar untuk tempoh 10 tahun,” katanya lanjut sebagai mengulas soalan yang diajukan pihak media berhubung tujuan sebenar lawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri ke Pulau Pinang semalam.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa tujuan sebenar lawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri ke Pulau Pinang kelmarin adalah untuk memahami keadaan sebenar berhubung dua kes pengusiran penduduk yang hangat diperkatakan kini iaitu PPR Taman Manggis dan tanah wakaf di Butterworth.

Menurut beliau, pembangunan tanah-tanah wakaf di seluruh negara sememangnya telah diberikan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana cadangan baharu diluluskan dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

“Niatnya hanya satu iaitu untuk memastikan tanah-tanah ini dapat menjana impak sosial ekonomi yang lebih baik dengan kemudahan asas lebih teratur.

“Walaupun proses pengusiran ini di mana-mana projek pun adalah proses peringkat terakhir dan pahit diterima, tetapi keputusan untuk keluar adalah untuk membolehkan pembangunan dilaksanakan,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD