Suami bantu isteri bekerjaya urus rumah tangga lebih dihormati – Toh Puan

Admin

SEBERANG JAYA – Suami yang membantu isteri bekerjaya menguruskan hal rumah tangga tidak akan menjejaskan martabat mereka sebagai lelaki, bahkan secara umum lebih dihormati oleh wanita dan anggota keluarga.

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff iaitu isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang pagi ini.

“Apabila wanita bekerjaya ini pulang ke rumah, peranan beliau telah bertukar menjadi isteri dan ibu yang menguruskan hal rumah tangga seperti menjaga anak, memasak, membersihkan rumah dan sebagainya.

“Oleh itu, suami haruslah berkongsi tanggungjawab dengan isteri untuk menguruskan kerja rumah tangga.

“Sumbangan tenaga suami dalam berkongsi tanggungjawab untuk menguruskan hal keluarga tidak akan menjejaskan martabat suami sebagai lelaki, malah beliau lebih dihormati dan disayangi oleh isteri,” jelasnya di Dewan Serba Guna SP Arena pada 8 April 2019 di sini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut berucap pada majlis sambutan bertemakan “Seimbang Untuk Sejahtera”.

Turut hadir, Tan Lean Kee iaitu isteri Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Majimor ketika berucap turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri terutama pihak Chong Eng dalam memartabatkan gender wanita di peringkat membuat keputusan di Pulau Pinang.

Chong Eng memberitahu Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menggunakan metodologi ‘Gender Responsive and Participatory Budgeting’ (GRPB) agar semua gender berbeza iaitu lelaki, wanita, kanak-kanak senantiasa dipenuhi.

“Menerusi polisi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mencapai komposisi penjawat awam terutama di peringkat pembuat keputusan, yang terdiri daripada 40 peratus wanita, 40 peratus lelaki dan baki 20 peratus akan dibuka kepada wanita dan lelaki…supaya nisbah lelaki tidak boleh melebihi 60 peratus,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Katanya lagi, penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di kesemua 40 KADUN dengan 15 keanggotaan bagi tiap-tiap jawatankuasa, merupakan inisiatif terbaru Kerajaan Negeri dalam memartabatkan wanita di Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD