PPR Taman Manggis: Tiada pengosongan fasa kedua, respons Exco

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memaklumkan bahawa terdapat beberapa keluarga penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang masih menunggu tindakan penyelesaian lanjut.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap soalan pemberita yang mendakwa bahawa masih ada dalam kalangan penyewa yang belum menerima apa-apa jua bentuk penyelesaian.

“Sepertimana semua tahu mereka (penyewa yang diarahkan keluar setelah hilang kelayakan mendiami PPR) telahpun dibenarkan balik ke unit-unit mereka untuk sementara menunggu penyelesaian lanjut.

“(Dan) ada beberapa (isu penyewaan) telahpun kita (Kerajaan Negeri) kita selesaikan yang mana kita perlu sediakan rumah untuk mereka berpindah,” katanya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar tadi.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa tiada pengosongan fasa kedua bagi unit-unit PPR di Taman Manggis sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN