PPS terima pengiktirafan ‘berpaku’

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Seramai 225 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) bahagian pulau menerima pengiktirafan pangkat oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada satu majlis di Dewan Tunku Komtar di sini baru-baru ini.

Tiga jenis pangkat dianugerahkan iaitu tiga paku kepada Ketua Pasukan, Timbalan Ketua Pasukan (dua paku) dan Naib Ketua Pasukan (satu paku).

Guan Eng ketika menjelaskan dengan lebih lanjut berkata, pengiktirafan pangkat jawatan Ketua Pasukan ditetap dan dipersetujui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada awal penubuhan sesebuah pasukan PPS, manakala jawatan Timbalan dan Naib Ketua Pasukan diputuskan melalui mesyuarat ADUN dan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Ketua Pasukan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Melalui mesyuarat ini, nama-nama calon untuk lantikan ke jawatan tersebut akan dibincang dan dilantik setelah mendapat persetujuan semua ahli jawatankuasa mesyuarat,” ujarnya pada Majlis Pelantikan Pangkat Anggota PPS di sini baru-baru ini.

Bagi rekod penubuhan, PPS ditubuhkan sejak 2011 bagi mewujudkan persekitaran selamat kepada komuniti dalam membendung kegiatan jenayah seperti ragut, bunuh dan lain-lain.

Secara tahunan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi melicinkan operasi PPS seperti membeli kemudahan peralatan walkie-talkie, vest, topi, lampu suluh dan terbaru sepasang kasut keselamatan serta seluar panjang untuk tujuan rondaan.

Malah, anggota PPS turut dilindungi insurans berkelompok di mana masing-masing layak menerima pampasan RM10,000 sekiranya berlaku kecacatan kekal atau kehilangan nyawa ketika bertugas.

Menurut Guan Eng, inisiatif penubuhan PPS adalah untuk membantu pihak polis dalam mengurangkan kadar jenayah dan ia terbukti melalui beberapa kes yang berjaya ditangani dengan bantuan pasukan berkenaan.

“Lanjutan itu, ia telah menyangkal andaian sesetengah pihak bahawa PPS cuba mengambil-alih tugas polis sedangkan semua pihak mengetahui bahawa pasukan keselamatan terbabit (Polis Diraja Malaysia, PDRM) mempunyai bidang kuasa sah dalam soal keselamatan negara,” ujarnya.

Bagi rekod terbaru, beliau memberitahu bahawa, sebanyak 264 pasukan PPS berjaya ditubuhkan seluruh negeri termasuk Seberang Perai dengan kekuatan anggota seramai 8,263.