PPV ‘bergerak’ ke Pulau Aman dipuji

Admin
GAMBAR beberapa petugas Pejabat Kesihatan Daerah SPS menjejaki rumah salah seorang OKU terlantar di Pulau Aman untuk proses menyuntik vaksin dos pertama di sini menjelang waktu Zuhur tadi.

BUKIT TAMBUN – Inisiatif Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (PKD SPS) menganjurkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak di Dewan Serbaguna MPKK Pulau Aman sejak pagi ini mendapat pujian sekalian penduduk setempat.

SAIBI Abd. Majid

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, SAIBI ABD. MAJID, 58, berkata bahawa inisitif tersebut sekali gus memberi kemudahan kepada 156 penduduk yang memohon untuk mendapatkan dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“(Melalui) kerjasama YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, GOH CHOON AIK, penyediaan logistik seperti Dewan MPKK dan kelengkapan penghadang untuk proses vaksin, kita siapkan tempat ini jam 2 pagi tadi.

“Terima kasih kepada Klinik Desa Pulau Aman, juga kepada Pegawai Kesihatan Daerah (SPS), Dr. Chow Sze Loon kerana menyambut baik cadangan kami untuk mengadakan PPV ‘bergerak’ di sini,” ujarnya kepada wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR di sini pada 8 Julai 2021.

GAMBAR Saibi Abd. Majid menerima suntikan dos pertama vaksin antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara tadi.
GOH Choon Aik diberi penerangan oleh Dr. Chow Sze Loon (kanan) mengenai penganjuran PPV ‘bergerak’ selanjutnya untuk dos kedua kepada penduduk antara usia 18 tahun hingga 82 tahun di Pulau Aman, yang dijadualkan pada 29 Julai 2021.

Sebelum pada itu, Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh memberitahu Buletin Mutiara bahawa pihaknya berharap PPV ‘bergerak’ dapat diperluaskan ke kawasan-kawasan yang mempunyai masalah logistik sekitar Bukit Tambun dan Sungai Acheh.

GOH Choon Aik

“Bagi saya, PPV secara berpusat lebih sesuai dilaksanakan di kawasan bandar yang mempunyai jaringan logistik, perhubungan dan pengangkutan yang begitu bagus.

“Sementara, di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah logistik, PPV ‘bergerak’ seperti yang Pejabat Kesihatan Daerah SPS adakan sehingga petang nanti adalah lebih efisien terutama akan melibatkan dua penerima vaksin dalam kalangan warga emas dan OKU (orang kurang upaya) terlantar.

FARID Yusoff

“Sehubungan itu, saya harap Pejabat Kesihatan Daerah (SPS) dapat pergi ke kawasan terpencil seperti di Sungai Acheh,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada 15 petugas barisan utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terlibat dalam ‘PPV bergerak di sini.

Hadir sama, FARID YUSOFF, 32, iaitu Pegawai Seranta kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

SALAH seorang warga emas terlantar di rumah sedang menerima suntikan vaksin antara gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, ISHAK MAN, 53, turut memuji kolaborasi pelbagai pihak termasuk MPKK Pulau Aman dan Klinik Desa setempat dalam menganjurkan PPV ‘bergerak’.

ISHAK Man

“Kalau nak ambil vaksin di PPV Jawi, kurang-kurang ambil masa tiga jam perjalanan sehala untuk ke sana.

“Macam saya baru daftar tiga minggu lepas (menerusi MySejahtera) kerana ingat akan dapat temu janji menerusi majikan tempat saya bekerja.

“Apabila saya dapat tahu bahawa ada PPV ‘bergerak’ ini, saya rasa begitu mudah untuk penduduk setempat untuk mendapatkan dos satu dan dos dua tanpa perlu menyeberang laut.

“Gementar, memang gementar tapi gementar sebab seronok tak sabar nak dapat dos pertama,” katanya yang juga Pengerusi Kariah Masjid Pulau Aman.

NOR Aini Zulkifli

Nada pujian sama turut dikongsikan oleh seorang lagi penduduk, NOR AINI ZULKIFLI yang merupakan suri rumah sepenuh masa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu.

“Sebelum PKP, saya berniaga cenderahati memandangkan Pulau Aman ini merupakan antara kawasan pelancongan desa di negeri ini.

“Tetapi, penduduk tempatan memang sangat jaga segala prosedur operasi standard (SOP) dan sebab itulah sehingga kini tiada kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan pelancongan Pulau Aman.

“Di samping itu, saya puji Pejabat Kesihatan Daerah kerana memudahkan segala urusan pemberian vaksin kepada penduduk setempat terutama OKU dan warga emas,” jelasnya.

Difahamkan, populasi penduduk Pulau Aman adalah seramai 235 orang, termasuk kanak-kanak yang menghuni 46 unit rumah.

GAMBAR beberapa petugas Pejabat Kesihatan Daerah sedang menurunkan barang kelengkapan berkaitan PPV ‘bergerak’ dari bot penumpang di Jeti Pulau Aman kira-kira 11 pagi tadi.