PR1MA – menteri janji beri maklum balas Jun ini

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Pengerusi PR1MA yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr. Jamaluddin Mohd. Jarjis berjanji akan memberi maklum balas berhubung janji Kerajaan Pusat untuk membangunkan perumahan mampu milik PR1MA di Pulau Pinang Jun ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo yang sebelum ini telah berjumpa dengan menteri berkenaan pada 8 Februari lalu.

“Saya telahpun berjumpa Datuk Sri Dr. Jamaluddin Mohd. Jarjis pada 8 Februari lalu dan bertanyakan tentang janji Kerajaan Pusat untuk membangunkan perumahan mampu milik PR1MA di Pulau Pinang.

“Beliau berjanji akan memberi maklum balas menjelang bulan Jun ini termasuk maklumat berkaitan lokasi projek PR1MA dan jumlah unit yang akan dibangunkan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer, ADUN Komtar, Teh Lai Heng serta Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Majlis dihadiri pelbagai lapisan masyarakat tersebut turut meraikan golongan tidak bernasib baik yang dibawa khas pihak penganjur.

Jagdeep memberitahu, sehingga ke hari ini, tiga lokasi dikenalpasti untuk membangunkan projek perumahan PR1MA, namun menemui jalan buntu apabila timbul isu tanah.

“Saya percaya, Kerajaan Pusat akan membantu kita (Kerajaan Negeri) dalam membangunkan perumahan mampu milik di sini (Pulau Pinang),” ujarnya.