KN tidak akan bertolak-ansur dengan pemaju – Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo tampil menyatakan komitmen Kerajaan Negeri
untuk menyelesaikan isu perumahan Centrio Avenue, Bukit Gambir membabitkan harga jualan dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) telahpun berjumpa dan berbincang dengan pemaju Centrio Avenue, Messr. Nuwata Sdn. Bhd. (Centrio Avenue) sejak Disember tahun lalu untuk mencari penyelesaian terhadap aduan diterima.

“Cuma 7.18 peratus sahaja aduan diterima daripada keseluruhan unit yang ditawarkan iaitu 780 unit.

“Kita (SPEC) mulanya menerima 100 aduan pada Disember tahun lalu dan sehingga ke hari ini, hasil pertemuan beberapa kali, kita telah berjaya menyelesaikan 25 aduan.

“Manakala, baki 56 aduan lagi akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini. Daripada jumlah itu (56 aduan), tiga pengadu telah menolak tawaran, manakala baki 53 pengadu lagi akan dipanggil untuk perbincangan lanjut dengan SPEC,” katanya di pada sidang media di sini baru-baru ini.

Terdahulu SPEC telah memanggil pemaju Centrio Avenue untuk memberi penjelasan mengenai rungutan kira-kira 20 pembeli yang terpaksa membayar antara RM160,000 hingga RM180,000 bagi seunit rumah kos sederhana rendah walaupun harga asal jualan ialah RM72,500 seunit.

Pengubahsuaian pada rumah tersebut, tidak termasuk RM28,500 kos lot parkir dan kos pengubahsuaian antara punca pemaju menaikkan harga jualan rumah kos sederhana rendah tersebut pada kadar berbezabeza.

Hadir sama, Ahli-ahli Jawatankuasa SPEC dan wakil pemaju Fong Ling (Pengurus Akaun), Teh Kok Eng (Pengurus Jualan) dan konsultan Koay Wei Loong.

Jagdeep memberitahu, jumlah aduan sebenar diterima setelah disemak dengan data pembeli adalah 81 aduan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemaju, kerana pemaju tidak berhak menuntut bayaran lebih walaupun RM1.

“Mereka (pembeli yang layak) boleh beli dengan rela hati, tetapi, tidak boleh dipaksa oleh pemaju kerana harga rumah kos sederhana rendah itu RM72,500 sahaja.

“Saya akan panggil pemaju untuk beri tunjuk sebab, mengapa mereka tidak boleh patuh dengan polisi Kerajaan Negeri ini,” tegas Jagdeep.

Kata beliau, isu tersebut sepatutnya tidak berbangkit lagi kerana pemaju sebelum ini telahpun bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri dalam pertemuan tertutup kedua-dua pihak pada 6 Januari dan 12 Januari lepas.