Premis makanan kekal Gred C tidak boleh perbaharui lesen lagi – Datuk Bandar MBSP

Admin

JAWI – Sebanyak 1,319 premis makanan Gred C di bandar raya Seberang Perai yang gagal mendapat Gred B atau Gred A dalam tempoh tahun 2020 tidak boleh memperbaharui lesen lagi mulai tahun hadapan.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata pentadbirannya mulai tahun hadapan mensasarkan 70 peratus premis makanan berlesen di Seberang Perai berada dalam kategori Gred A, sementara baki 30 peratus lagi adalah Gred B sahaja.

“Kita (MBSP) sasar perubahan gred premis makanan 70 peratus Gred A dan 30 peratus Gred B pada tahun 2020.

“Kita nak pastikan semua premis makanan benar-besar bersih, sesuai dengan status Seberang Perai sebagai bandar raya,” jelasnya pada acara ‘Retreat’ Peningkatan Gred Premis Makanan Kawasan Seberang Perai Siri 4/2019 di Dewan Serba Guna Jawi di sini pada 22 Oktober 2019.

Turut serta, Pengarah Perkhidmatan Kesihatan MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor dan Ahli Majlis, Heng Yeh Shiuan.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa premis makanan Gred C yang berjaya mendapat Gred A akan diberi beberapa ganjaran seperti pembatalan semua rekod kompaun (pembersihan); dan pengurangan 50 peratus kadar suntikan tifoid (terhad untuk lima orang sahaja).

Sementara bagi premis makanan Gred B yang berjaya mendapat Gred A akan menikmati pengurangan 50 peratus kadar suntikan tifoid (terhad kepada tiga orang sahaja).

“Sebenarnya hasil daripada suntikan tifoid dan kompaun pembersihan ini tidak banyak kepada MBSP, dan bukan niat kita untuk melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh ini untuk duit ringgit semata-mata, tapi memang untuk pastikan premis makanan bersih menjadi satu lagi identiti bandar raya di sisi pelancong dan pengunjung yang nak ke Seberang Perai,” jelasnya.

Difahamkan, keseluruhan premis makanan berlesen di Seberang Perai berjumlah 2,141 premis.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD