Lawatan penanda aras pembangunan PKS ke Satun – Songkhla capai sasaran – TKMI

PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan salah satu penyumbang utama kepada industri pembuatan selain menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

Pelbagai inisiatif dan penekanan diberikan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008 terhadap pembangunan PKS bagi meningkatkan daya maju seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Terbaharu, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Industri dengan kerjasama Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) buat julung kalinya menganjurkan lawatan penanda aras ke Wilayah Satun dan Songkhla, Thailand bagi membangunkan sektor PKS negeri.

Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin berkata, lawatan kerja selama tiga hari mulai 16 hingga 18 Oktober lalu bertujuan memberi pendedahan serta pengetahuan kepada usahawan PKS berkaitan penanda aras bagi proses pengeluaran, pengurusan dan pemasaran produk.

Lawatan ke kilang pembuatan kopi secara tradisional dekat Wilayah Satun, Thailand.

 

 

 

 

 

“Selain kumpulan usahawan yang telah mencapai kemajuan, lawatan ini juga turut melibatkan mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang keusahawan.

“Kita bawa mereka untuk melihat sendiri bagaimana usahawan-sahawan di sini (Thailand) menjalankan perniagaan mereka daripada segi proses pembuatan sehingga kepada pemasaran produk dan seterusnya menetapkan matlamat yang mahu dicapai di dalam perniagaan mereka.

“Bagi usahawan baru, mereka boleh belajar cara-cara untuk menjalankan perniagaan secara lebih berkesan manakala bagi yang telah mencapai tahap lebih maju, mereka dapat mempelajari perkara-perkara diperlukan bagi meningkatkan lagi perusahaan mereka.

“(Dan) diharapkan segala pengetahuan yang diperoleh melalui lawatan ini dapat dibawa pulang untuk dimanfaatkan oleh lebih ramai lagi usahawan di Pulau Pinang,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat ketika ditemui Buletin Mutiara pada program berkenaan, baru-baru ini.

Proses pembuatan kuih Simpul Kasih yang diusahakan secara satu komuniti satu industri dekat Kampung Chebilang, Satun.

Selain Ahmad Zakiyuddin, turut menyertai lawatan tersebut adalah Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri I, Muhammad Sufi Mohd. Jamil; Pengarah SME Corp. Pulau Pinang, Noor Azzam Yaazizul serta delegasi usahawan dari seluruh negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usahawan PKS di negeri ini untuk terus berkembang dalam perniagaan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Usahawan menjadi salah satu sektor penting dalam pembangunan negeri dan terus akan diberikan tumpuan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan di samping melibatkan diri dalam industri-industri yang lebih besar.

“Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada pihak SME Corp yang telah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dalam membantu mewujudkan lebih ramai usahawan di Pulau Pinang.

“(Dan) kita berharap agar jalinan kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasaran terutama graduan lepasan ijazah yang mahu memulakan perniagaan atau perusahaan agar mereka mendapat bimbingan yang sewajarnya oleh agensi berkaitan,” ujarnya yang mengetuai rombongan berkenaan sambil menyifatkan lawatan kerja tersebut berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Ir. Ahmad Zakiyuddin merasmikan ‘Ground Water Bank’ ke-45 yang dibangunkan melalui program MATHAF bagi kegunaan kumpulan memerlukan di Wilayah Satun.

Dalam pada itu, Noor Azzam memberitahu bahawa hasil daripada lawatan itu, pihak penganjur One Tambon One Product atau OTOP SMEs Expo Thailand bersetuju memberikan ruang kepada PKS Pulau Pinang untuk menyertai ekspo tersebut secara percuma pada masa akan datang.

“Apa yang kita harapkan bagi usahawan di negeri ini adalah untuk mengenal pasti kawasan mana telah mencapai matlamat iaitu satu daerah satu industri atau SDSI, kerana kita mahu pastikan usahawan yang mewakili daerah tersebut boleh mengungguli produk diusahakan dan seterusnya membawa nama Pulau Pinang ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya lagi.

Terdahulu, ketibaan delegasi yang disertai oleh 30 usahawan dari seluruh Pulau Pinang ke Wilayah Satun, Thailand disambut oleh Datuk Bandar Satun, Mamadnizam Bilanglod dan isteri Ratri Bilanglod.

Para peserta kemudiannya dibawa melawat ke kilang pembuatan kopi di wilayah berkenaan yang diusahakan secara tradisional sehingga mampu menarik kehadiran pelancong asing dan juga tempatan.

Meninjau produk-produk OTOP yang dihasilkan oleh usahawan tempatan Thailand yang merupakan antara ekspo terbesar di Wilayah Songkhla.

Lawatan diteruskan lagi ke Kampung Chebilang dan Kampung Baru dalam wilayah sama untuk melihat industri pembuatan kerepek ‘simpul kasih’ dan biskut ‘lidah kerbau’ yang dihasilkan melalui program ‘satu komuniti satu industri’.

Seusai makan malam bersama Gabenor Satun, Ahmad Zakiyuddin turut diberi penghargaan merasmikan ‘Ground Water Bank’ ke-45 dekat Kampung Chebilang yang dibangunkan melalui kerjasama Malaysia Thailand Halal Food Festival (MATHAF) di bawah program Project Malaya.

Difahamkan, di bawah program berkenaan, sebanyak 60 ‘water bank’ dibangunkan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM42,000 bagi kegunaan penduduk kurang berkemampuan di Wilayah Satun selain menjadi rujukan utama bagi 14 wilayah lain di Thailand.

Noor Azzam Yaazizul.

Pada hari kedua pula, para delegasi dibawa melawat ke tapak ekspo OTOP terkemuka Thailand di Wilayah Songkhla yang menghimpukan lebih 100 usahawan tempatan sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri jamuan makan malam bersama Pegawai Daerah Songkhla.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS