Prihatin, ADUN peruntuk lebih RM80,000 agih 1,900 hamper sejak Ramadan

Admin

DATUK KERAMAT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo memperuntukkan lebih RM80,000 utk mengagihkan sejumlah 1,900 hamper kepada keluarga memerlukan di seluruh Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan sejak Ramadan baru-baru ini.

Hamper berupa keperluan barangan makanan asas yang diagih secara berperingkat tersebut disasarkan kepada beberapa golongan memerlukan iaitu kariah masjid sebanyak 700 hamper, ibu tunggal (800) dan keluarga memerlukan (400).

Jagdeep pada majlis penyerahan sumbangan hamper kepada kariah masjid yang berlangsung hari ini berkata, sebanyak lima kariah masjid dan dua buah surau akan menerima 100 buah hamper masing-masingnya untuk diagihkan kepada penduduk sekitar yang memerlukan.

“Kita sedar sejak wabak COVID-19 ramai yang terkesan, malah ada juga keluarga yang dulunya M40 kini menjadi B40 akibat kehilangan pekerjaan dan sebagainya, justeru bantuan makanan asas ini walaupun tidak seberapa tetapi diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan di KADUN Datuk Keramat,” ujarnya pada Majlis Sumbangan Barangan Keperluan Asas kepada kariah Masjid Shaik Eusoff di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Yusof Yacob (Pengerusi Kariah Majid Shaik Eusoff) dan Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Pada majlis yang sama, Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa menyambut baik inisiatif yang didokong pihak kariah masjid berkenaan dalam mempraktikkan sistem pintar bagi mengumpul data penduduk kampung mengikut kategori pendapatan.

“Ini adalah salah satu contoh terbaik yang boleh diikuti, diharap pengurusan MPKK lain di KADUN Datuk Keramat dapat mencontohi inisiatif ini yang ternyata membantu memudahkan urusan,” ujarnya.

Yusoff ketika berucap memaklumkan pihaknya (kariah masjid) telah memulakan pengumpulan data penduduk kampung secara online berbanding manual sebelum ini.

“Apabila berlaku saja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memerlukan kita mengagihkan sumbangan, pihak kariah terus dapat mengenalpasti mereka yang memerlukan mengikut data yang telah dikumpul sebelum ini.

“Ia amat memudahkan pihak kami, penduduk kampung hanya perlu imbas QRCode yang tertera di masjid lalu memasukkan data yang diperlukan secara online,” jelasnya.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF