Impak pandemik COVID-19: Pulau Pinang, Kedah & Selangor kongsi inisiatif bangunkan semula sektor ekonomi

Admin

GEORGE TOWN – Pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini bukan sahaja telah mengubah landskap sektor ekonomi negara bahkan turut mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat dunia.

Apatah lagi ada kajian yang dijalankan oleh pihak berkepentingan menjangkakan antara 800,000 sehingga 900,000 pekerjaan bakal hilang ekoran penularan wabak ini di negara ini.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mengambil inisiatif segera dengan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing bagi membantu golongan terkesan termasuk meringankan kesan ekonomi akibat wabak COVID-19.

Di Pulau Pinang, pada 17 Mac 2020 iaitu sehari sebelum pengisytiharan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Kerajaan Negeri telah mengumumkan insentif bantuan berjumlah RM20 juta.

Namun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, setelah meneliti semula, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meluluskan tambahan RM55 juta menjadikan jumlah besar pakej bantuan yang diumumkan mencecah RM75 juta untuk Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0.

“Sama seperti negara lain, Malaysia juga terkejut dengan kepantasan penularan wabak COVID-19, dan negeri Pulau Pinang tidak terlepas daripada ancaman tersebut, namun kita patut bersyukur kerana Kerajaan Negeri terutama negeri-negeri di Semenanjung Utara mengambil tindakan pantas (bagi membendung penularan COVID-19) yang mana kita mempunyai jumlah kes aktif terendah dalam negara.

“Mengenai Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 yang diumumkan sebelum ini, Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang telah diperuntukan bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

“(Dan) di Pulau Pinang, sektor ekonomi sering menjadi suatu persoalan yang besar yang mana impak ini memberi kesan terhadap industri utama negeri seperti pembuatan dan perkhidmatan.

“Sebelum COVID-19 pun, kita terpaksa menghadapi cabaran ekonomi yang getir ekoran perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat yang turut membawa kepada krisis ke seluruh Asia Tenggara.

“Namun, syabas kepada ketiga-tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang juga dan Kedah kerana mencapai prestasi terbaik dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) sekaligus dilihat dapat mewujudkan sehingga 20,000 peluang pekerjaan untuk diisi terutama dalam kalangan anak muda,” ujarnya pada sesi khas Wacana Pasca COVID-19 : Qua Vadis, Anak Muda Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook pada 14 Mei 2020.

Selaku panelis wacana, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini sedang giat melihat peluang untuk membangunkan Digital Free Trade Zone atau Zon Dagangan Bebas Digital di negeri ini.

Industri di Pulau Pinang kini tidak hanya bergantung kepada semikonduktor sahaja, sebaliknya beralih kepada landasan E&E (elektrik dan elektronik) dan kini wujudnya kluster-kluster industri baharu misalnya peralatan perubatan serta telekomunikasi.

“Begitu juga dengan perkhidmatan gunasama global atau global shared services yang boleh diteroka untuk dikembangkan lagi di negeri ini pasca COVID-19 nanti.

“Saya percaya kita perlu memberi tumpuan terhadap inovasi-inovasi baharu dengan penggunaan teknologi digital agar kita dapat mencari kluster-kluster baharu supaya kita meneruskan hidup sebagai sebuah negeri yang dinamik dalam pembangunan ekonomi,” katanya yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan.

Selain pakej bantuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengambil pendekatan memperkenalkan Strategi Pemulihan Berperingkat bagi memastikan bukan sahaja rakyat Pulau Pinang bersedia, tetapi juga sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi semula benar-benar bersedia dan mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ketat.

Sebagai rekod, Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang mempunyai tiga fasa iaitu Fasa 1 Persiapan (dilaksanakan mulai 4 hingga 7 Mei); Fasa 2 Pembiasaan (8 hingga 12 Mei) dan Fasa 3 Pembukaan (mulai 13 Mei baru-baru ini).

Meskipun, Kerajaan Persekutuan mengambil langkah drastik dengan membenarkan sektor-sektor tertentu beroperasi lebih awal, namun di Pulau Pinang, menurut beliau, ia dilaksanakan secara berperingkat mulai 13 Mei lalu dan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Maka tidak perlu risau, cuma perbezaan beberapa hari sahaja berbanding (keputusan) Kerajaan Persekutuan kerana kita (Pulau Pinang) berpegang kepada pemulihan secara berperingkat.

“(Dan) kita mahu wujudkan keseimbangan antara nyawa rakyat dan kehidupan yang sejahtera dalam norma baharu,” maklumnya.

Sementara itu, di Selangor, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata bahawa Kerajaan Negeri mengambil langkah segera dengan menubuhkan pasukan bertindak COVID-19 dan melantik bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai pengerusi.

“Kita (Kerajaan Negeri) mula merangka dan mencongak apakah penelitian serta garapan dasar kita bagi mengurangkan beban dan bersedia menghadapi realiti baharu.

“(Dan) kita ada membelanjakan antara RM500,000 sehingga RM1 juta bagi menampan kesan langsung kepada mereka yang terkesan sepanjang dua bulan lalu berdasarkan KADUN.

“Kita juga melaksanakan e-bazar Ramadan dengan berkolaborasi bersama-sama pengendali penghantaran makanan…mulanya sukar kerana rakyat tidak yakin dengan transaksi elektronik tapi kini mereka sudah terbiasa.

Hal ini kerana, kita mendapati para pembeli lebih bersedia menghadapi proses digitalisasi berbanding penjaja-penjaja kita dan inilah yang kita harus lihat bagaimana mempercepatkan proses ini dalam kalangan penjaja.

“Kita belanja hampir RM100 juta untuk melihat keseluruhan proses ini yang sebahagiannya melibatkan proses digitalisasi termasuk membantu peniaga memasarkan produk mereka melalui Shopee.

“Kita mensasarkan kitaran perniagaan sekitar RM8 juta tetapi daripada fakta yang diterima, angkanya berlipat-ganda…ternyata rakyat bersedia untuk berubah terutamanya anak muda yang lebih terdedah kepada internet,” responsnya sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh moderator, Howard Lee iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak, berhubung langkah-langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam mendepani kesan akibat COVID-19 ini terutama dari segi ekonomi negeri.

Bagi negeri Kedah, keputusan menangguhkan pelaksanaan PKPB pada 4 Mei lalu dibuat bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri itu.

Berdasarkan laporan media, pendirian itu diambil bagi menjamin Kedah kekal sebagai zon hijau dan rakyatnya tidak terancam dek penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, penularan wabak tersebut telah memberi impak yang luar biasa terutama dalam sektor ekonomi dan perdagangan.

“Sebagai sebuah negara yang bergantung terhadap aktiviti perdagangan, Kedah pastinya terkesan apabila banyak kilang-kilang terpaksa tutup, bekalan bahan mentah tak sampai, pekerja-pekerja dipotong gaji atau menerima separuh gaji atau paling teruk diberhentikan terus.

“(Dan) saya percaya di sebalik cabaran yang dihadapi kini, kadang-kadang ada satu peluang tetapi untuk mencari peluang itu amat payah.

“Contohnya, dalam soal pengeluaran padi yang mana kita (Kedah) terlibat dalam proses jaminan makanan dan kita rasakan bidang pertanian merupakan salah satu cabang sektor ekonomi yang masih mempunyai masa depan yang cerah.

“Maka, Kerajaan Negeri mengambil langkah-langkah wajar dengan memastikan Kedah masih mempunyai ketahanan dalam menghadapi cabaran-cabaran seperti ini dengan menentukan pengeluaran padi atau produk-produk pertanian terus dapat dihasilkan dengan kualiti yang baik,” jelasnya yang mahu melihat lompang yang wujud dalam penghasilan produk tani import dapat diisi oleh produk-produk tempatan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri kini giat merangka dan meneliti keperluan yang diperlukan oleh industri dalam menggerakkan semula sektor ekonomi di negeri itu.

Selain pertanian, sektor pembuatan juga antara sektor ekonomi terbesar bagi negeri Kedah, dan kita (Kerajaan Negeri) perlu melakukan sesuatu dengan menggunakan teknologi terkini agar tidak ketinggalan jauh kelak.

“Misalnya, dalam penanaman padi, kita sememangnya menekan kaedah penanaman estet padi yang mana kita boleh bayangkan penggunaan jentera padi yang besar berbanding kaedah sekarang yang diusahakan secara relung dan kurang ekonomikal dari segi skala ekonominya.

Kebelakangan ini juga, saya dapati ramai anak-anak muda yang menceburi bidang pertanian ini dan mereka ini lebih berinovasi malah dari segi keberhasilan juga sangat baik.

“Oleh itu, saya amat menggalakkan mereka (anak-anak muda) ini untuk teruskan usaha ini dan kerajaan akan bantu sewajarnya,” serunya yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menyentuh mengenai penghijrahan modal insan ke Pulau Pinang dan Selangor, Mukhriz sebagai respons memaklumkan bahawa situasi tersebut telah lama berlaku.

“Biasalah anak-anak muda apabila mencari pekerjaan pasti akan mencari peluang yang banyak dan gaji yang lumayan, jadi kita di Kedah perlu melakukan perkara sama seperti yang ditawarkan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Maka, Kerajaan Negeri akan melihat peluang yang ada dengan menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada anak-anak muda khasnya…kita tidak mahu lagi kerja-kerja yang bergaji rendah.

“(Dan) diharap dengan inisiatif ini dapat menarik semula anak-anak muda Kedah kembali untuk sama-sama membangunkan negeri ini atau menarik modal insan dari negeri lain untuk kerja di Kedah pula,” jawabnya.

Wacana Pasca COVID-19: Qua Vadis, Anak Muda Malaysia disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook sempena sambutan Hari Belia pada 15 Mei 2020 dan mendapat jumlah tontonan melebihi 930,000 dengan lebih 13,000 komen.

KETUA Menteri melambai apabila diperkenalkan oleh moderator wacana yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook baru-baru ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI