PRN Pulau Pinang: Rundingan kerusi PH, BN sebulan sebelum muktamad – Kon Yeow

KETUA Menteri (kiri) dan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media berkaitan seusai Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di Butterworth Arena pada 19 Mac 2023.

BAGAN JERMAL – Proses rundingan kerusi melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan mengambil masa kira-kira sebulan sebelum dimuktamadkan dalam bentuk perjanjian bersama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook seusai sesi pagi Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di Butterworth Arena dekat sini pada 19 Mac 2023.

“Sebenarnya, saya perlu kembali merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berhubung hala tuju terbaru (rundingan).

“Dalam setiap mesyuarat PH Pulau Pinang membincangkan perkara sama (iaitu mengenai kerjasama dengan BN) dan hala tuju terbaru akan membantu memuktamadkan (rundingan kerusi) sesama komponen parti di bawah PH, selepas itu untuk melanjutkan rundingan (kerusi) dengan Barisan Nasional (BN).

“Proses (rundingan kerusi) ini masih berjalan sehinggalah suatu perjanjian bersama boleh dicapai…(akan mengambil masa dalam) sebulan bermula semalam,” jelasnya yang juga Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, Kon Yeow turut mengulas mengenai sasaran pembangkang untuk merampas sekurang-kurangnya 14 ‘kerusi Melayu’ dalam PRN Pulau Pinang akan datang.

“Tentu sekali Pakatan Harapan ingin memenangi lebih banyak kerusi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas (iaitu 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang).

“Disebabkan itu, sudah tentu parti-parti pembangkang (Pulau Pinang) tertentu menyasarkan sasaran untuk memenangi kerusi 15 atau 14 kerusi pada PRN nanti, terpulanglah kepada mereka untuk menetapkan sasaran mereka,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Paling penting, menurut Kon Yeow lagi, ketika ini adalah membuat persiapan jentera demi mempertahankan mandat rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Negeri pada PRN akan datang.

Menjawab soalan pemberita, Siew Fook memberitahu bahawa tidak ada rundingan kerusi secara langsung antara DAP dan MCA bagi menghadapi PRN di Pulau Pinang.

“Kerjasama kita atas semangat Kerajaan Perpaduan adalah antara gabungan parti politik dan gabungan parti politik (iaitu) antara PH dan BN, jadi (rundingan kerusi) bukan antara parti komponen (dalam kedua-dua gabungan parti politik tersebut),” ulasnya yang juga Menteri Pengangkutan.

Sebelum itu, Kon Yeow semasa berucap dalam konvensyen tahunan negeri DAP antara lain menyeru semua pemimpin dan akar umbi parti memperkemas jentera dalam tempoh kurang 100 hari sebelum PRN Pulau Pinang.

Siew Fook dan Guan Eng turut berucap dalam konvensyen tahunan negeri DAP itu.