Produk usahawan kecil tonjol Balik Pulau sebagai destinasi pelancongan unik

BERBEKALKAN ilmu pertukangan besi dan kepekaan berhubung kegemaran masyarakat kini yang menjadikan haiwan peliharaan sebagai suatu hobi telah mendorong SUHAIMI AHMAD, 46, meneroka penghasilan pelbagai jenis sangkar unik serta comel. Suhaimi ketika ditemui pada sesi Jelajah Usahawan dan Koperasi 2017 Daerah Barat Daya baru-baru ini menjelaskan bahawa beliau mula berkecimpung dalam penghasilan sangkar haiwan ternakan dan peliharaan sejak awal Januari lalu.

“Pada mulanya, saya hanya menghasilkan pertukangan besi seperti awning (bumbung) rumah dan sebagainya sejak 8 tahun lalu.

“Saya mula terbuka idea untuk menghasilkan sangkar apabila melihat kebanyakan masyarakat hari ini, sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak memang gemarkan haiwan peliharaan.

“Jadi… dari situ timbul idea untuk menghasilkan condominium pets, yang lebih unik bentuknya dan berbeza daripada yang sedia ada di pasaran,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di bengkelnya dekat Air Putih, Balik Pulau.

Antara sangkar-sangkar buatan tangan yang disediakan adalah sangkar arnab, ayam, burung, kucing dan pelbagai.

Bercerita lanjut, Suhaimi memberitahu, lazimnya beliau yang dibantu empat pekerja tempatan dapat menghasilkan satu tempahan dalam tempoh lima hari bergantung kepada saiz serta bentuk diinginkan.

“Rata-ratanya tempahan adalah dari dalam dan luar Pulau Pinang.

“Jika dahulu sewaktu awal penglibatan, seminggu hanya menerima satu tempahan (sangkar sahaja), tetapi kini alhamdulillah permintaan amat menggalakkan iaitu sehingga lima sangkar.

“Jika diberikan peluang, InsyaAllah saya berhasrat mengembangkan perniagaan ini tahun hadapan,” ujar bapa kepada empat cahaya mata berkaitan.

Jelajah Usahawan dan Koperasi 2017 yang diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon turut menyantuni tujuh usahawan lain di sekitar kawasan Balik Pulau.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid, Mohd. Tuah Ismail (PPK Pulau Betong) dan Azrul Mahathir Aziz (PPK Bayan Lepas).

Salah seorangnya, MANIS ALI iaitu pengasas Maktam Baulu di Kampung Sungai Korok.

Menurut Manis atau lebih mesra dengan panggilan Maktam, baulu dihasilkan adalah resipi turun-temurun yang beliau usahakan sejak 18 tahun lalu, dan kini perniagaan itu dipelopori anak perempuannya. Menurut beliau, musim perayaan adalah tempoh paling sibuk buat mereka ekoran banyak menerima tempahan daripada orang ramai.

“Selain tempahan biasa, kita juga membuat baulu khas yang ditempah pelanggan mengikut corak kemahuan mereka seperti ikan mas, buah cermai, buah strawberi, pisang dan lainlain untuk dijadikan hantaran perkahwinan,” ujar Maktam petah sambil menjamu rombongan dengan baulu keluarannya. Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke lokasi Balik Kampung @ Balik Pulau.

Di sana, ahli rombongan dapat merasai kehidupan kampung seperti mengayuh basikal tua, menaiki sampan kecil di dalam kolam buatan, dibawa mengelilingi kawasan sawah padi dan muara sungai dengan menaiki sebuah bas sekolah lama.

Menceritakan keunikan tempat tersebut, pemiliknya, WONG ANN HUAT menjelaskan bahawa rekreasi tersebut adalah amat sesuai dijadikan sebagai kawasan bersantai buat pengunjung yang ingin merasai suasana kampung serta juga lokasi mengadakan kursus bina pasukan.

Sementara itu, ulas Mohd. Rashid yang merupakan Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, jelajah tersebut bukan sahaja bagi mendekati golongan usahawan kecil, sebaliknya berhasrat menonjolkan produk Balik Pulau sebagai suatu produk pelancongan.

“Balik Pulau sememangnya terkenal dengan keadaan semulajadinya yang masih menghijau.

“Jadi, dengan kreativiti usahawan-usahawan kecil ini, ia akan membantu memasar dan sekali gus menjadikan Balik Pulau sebagai suatu destinasi tarikan pelancong…dengan alam semulajadi dan produk-produk tempatannya,” jelas beliau.

Pada sesi lawatan tersebut, Mohd. Rashid turut berkongsi maklumat dan menerangkan manfaat Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang disediakan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan usahawan di negeri ini mengembangkan perniagaan masing-masing.