Program Ambang Ramadan peringkat KADUN Bukit Tengah berlangsung meriah

Admin

BUKIT TENGAH – Program Ambang Ramadan peringkat KADUN Bukit Tengah yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Sireh pada 13 April lalu meriah.

Dianjurkan oleh Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah, program julung kali itu bertujuan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Gooi Hsiao-Leung, program tersebut juga memberi didikan kepada kanak-kanak mengenai bulan puasa.

“Saya difahamkan oleh Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bahawa pengisian dalam program ini sangat unik dan merupakan yang pertama diadakan di negeri ini.

Persembahan nyanyian lagu-lagu nasyid menceriakan suasana majlis.

“Adalah sesuatu yang menyeronokkan apabila kita berpeluang melihat telatah anak-anak yang mempamerkan bakat dalam pertandingan (azan, hafazan, bercerita dan nyanyian lagu nasyid) yang diadakan.

“Lebih mempersonakan apabila kakitangan Pejabat Agama Daerah (SPT) juga turut membuat persembahan.

“Saya percaya, tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada ustaz, ustazah, guru dan ibu bapa tidak mungkin anak-anak ini dapat mempamerkan kebolehan, kepintaran, kreativiti dan keberanian mereka dalam khalayak ramai,” katanya semasa merasmikan program berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I yang juga ADUN Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Difahamkan, seramai 175 orang murid darjah satu hingga darjah enam dari sekolah dan Kelas al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) di sekitar KADUN Bukit Tengah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Permai Indah, SK Kebun Sireh, KAFA Nurul Ehsan Bagan Nyior dan KAFA Masjid Kampung Sekolah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN