Program Anak Emas – bayaran RM200 ‘one-off’ pada 1 Januari 2012

Oleh : ZULIANA AZIZ

GEORGE TOWN – “Sumbangan yang amat dinanti-nantikan! Suatu penghargaan yang amat bermakna kepada kami sekeluarga yang lahir, membesar dan mengembangkan zuriat di negeri Pulau Mutiara. Duit RM200 ini boleh digunakan untuk membuka buku akaun simpanan untuk anak saya yang saya percaya boleh membantunya di masa hadapan,” begitulah perungkapan oleh seorang bapa kepada dua orang cahaya mata, Muhammad Salleh Nagoor Ghani, 32, ketika diminta mengulas mengenai Program Sumbangan Anak Emas Pulau Pinang yang julung kali diadakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berjiwa rakyat.

MUHAMMAD Salleh Nagoor Ghani bersama keluarga.
MUHAMMAD Salleh Nagoor Ghani bersama keluarga.

Semua ibu bapa di negeri ini boleh menarik nafas lega apabila sumbangan Program Anak Emas Pulau Pinang bernilai RM100 sebelum ini telah dinaikkan kepada RM200. Pengumuman telah dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, baru-baru ini.

Menurut Ketua Menteri, bayaran pertama Program Anak Emas Pulau Pinang akan dibuat pada 1 Januari 2012 kepada anak-anak yang dilahirkan sepanjang tahun 2011 terlebih dahulu.

Program ini telah diwujudkan ekoran permintaan banyak pihak apabila sumbangan diberi kepada warga emas berumur 60 tahun dan ke atas di atas jasa bakti mereka kepada negeri ini.

Sumbangan bagi Program Anak Emas ini juga merupakan inisiatif khas Kerajaan Negeri bagi menghargai anak-anak baru kelahiran Pulau Pinang dan diharap dapat menjadi pembakar semangat generasi muda dalam memajukan negeri ini di masa hadapan.

YUSNITA Yusop bersama anaknya.
YUSNITA Yusop bersama anaknya.

Bagi ibu kepada seorang cahaya mata perempuan, Yusnita Yusop, 28, walaupun beliau telah terlepas peluang kerana anaknya dilahirkan pada 2010, namun, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mewujudkan program-program yang memperkasakan hak rakyat.

“Memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya merasakan keputusan Ketua Menteri untuk menambah jumlah bantuan dari RM100 kepada RM200 amat tepat sekali. Sedikit sebanyak wang yang diberikan dapat membantu para ibu bapa membuat persediaan awal menyambut kelahiran bayi mereka,” ujar beliau kepada wartawan Buletin Mutiara.

 

 

Program Anak Emas

DAFTARLAH SEKARANG DI PEJABAT ADUN ANDA!

• Salah seorang ibu atau bapa merupakan pengundi berdaftar di Pulau Pinang.
• Dilahirkan pada atau selepas 1hb. Januari 2011.