Program Anugerah Pelajar Cemerlang khas untuk Parlimen Batu Kawan

BUKIT TAMBUN – Para pelajar Parlimen Batu Kawan yang memperoleh keputusan cemerlang di peringkat sekolah rendah dan menengah dipelawa untuk memohon menyertai program anugerah pelajar cemerlang kawasan berkaitan sesi akademik 2021.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa program tersebut julung kali diadakan di sini selain peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota sebelum ini.

 

 

“Sebagai makluman, anugerah ini sudah memasuki tahun kedua diadakan di KADUN Padang Kota, jadi kesempatan ini saya ingin memperkenalkannya di peringkat Parlimen Batu Kawan sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri atas pencapaian cemerlang pelajar-pelajar di seluruh kawasan ini.

 

 

“Program ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahun 1 hingga Tahun 6 (Kategori 1); Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 (Kategori 2); Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kategori 3 dan Kategori 4 bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

 

 

“Permohonan ini terbuka kepada ibu atau bapa yang beralamat di Parlimen Batu Kawan (bukan pengundi Batu Kawan), pengundi Batu Kawan namun tinggal di luar kawasan parlimen dan tidak semestinya anak bersekolah di Batu Kawan,,” ujarnya dalam sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Kawan di sini hari ini.

 

Hadir sama, Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Kawan, Lau Keng Ee.

 

 

Keng Ee dalam pada itu memaklumkan bagi Kategori 1, pelajar perlu sekurang-kurangnya memperoleh keputusan enam TP5.

 

 

“Manakala Kategori 2, purata markah adalah melebihi 80, bagi Kategori 3, SPM memperoleh sekurang-kurangnya 8A dan ke atas dan selanjutnya bagi STPM untuk Kategori 4 adalah perlu memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.7 dan ke atas.

 

“Bagi Kategori 1, pelajar akan diberikan pingat, sijil kepujian berserta wang tunai RM100; Kategori 2, pingat, sijil kepujian dan wang tunai RM150 .

 

 

“Untuk Kategori 3, pelajar akan mendapat pingat, sijil kepujian berserta wang tunai RM300 dan Kategori 4 iaitu STPM, pingat, sijil kepujian dan wang tunai RM500,” ulasnya lanjut.

 

 

Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui Facebook Rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Kawan atau mendapatkan borang dari pejabat Parlimen Batu Kawan sendiri atau di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Bukit Tengah dan Bukit Tambun.

 

 

“Pandaftaran dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac 2023,” ulasnya lanjut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR