Program ‘Family Fun Day’ sasar 3,000 peserta, jom sertai!

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 3,000 penyertaan dalam program Family Fun Day yang akan diadakan pada 7 Julai depan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, penganjuran program tersebut selaras dengan visi Penang2030 ke arah mewujudkan Pulau Pinang sebagai negeri berorientasikan kekeluargaan, hijau dan pintar.

“Melalui program Family Fun Day ini, kami (Kerajaan Negeri) berhasrat untuk menggalakkan keluarga meluangkan masa bersama-sama dalam usaha mengukuhkan jalinan hubungan di antara ahli keluarga melalui aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan pada hari tersebut.

“Antara aktiviti tersebut ialah bengkel kraf untuk kanak-kanak, pertandingan bertema keluarga, stesen permainan tradisional, pertandingan ‘relay obstacle’ keluarga dan banyak lagi,” ujarnya kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Ir. Rosnani Mahmood; Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),Bernard Cheen dan wakil Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Ibrahim Yusof turut sama menghadiri sidang media tersebut.

Program dijadualkan bermula pada jam 7:30 pagi sehingga 3:00 petang bertempat di Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu bahawa acara ‘Together As One’, iaitu pertandingan relay keluarga merupakan salah satu tarikan utama bagi penganjuran program ini.

“Acara ini terbuka kepada 50 keluarga pertama sahaja dan setiap keluarga perlu menpunyai empat ahli (dua orang dewasa dan 2 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun),” jelasnya yang juga ADUN Padang Lalang sambil menambah bahawa acara berkaitan memerlukan pra-pendaftaran dengan setiap kumpulan dikenakan yuran RM30 bagi setiap keluarga.

Buat julung kalinya, program ini dianjurkan sempena Sambutan Hari Keluarga Sedunia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Wanita dan Keluarga dengan kerjasama MPSP, LPPKN, Adventure’s Club, Rakan Bukit Mertajam dan Pengakap Daerah Bukit Mertajam.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan penganjuran program, sila hubungi talian 04-650 5143.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS