Program gotong-royong cegah denggi dipergiat

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempergiatkan program gotong-royong komuniti sebagai usaha untuk memerangi penularan wabak denggi di negeri ini.

 


Exco Belia, Sukan dan dan Kesihatan, Danial Gooi Zi Sen berkata sehingga Minggu Epid Ke-45 tahun ini, sebanyak 563 program gotong-royong telah dijalankan iaitu peningkatan hampir lima kali ganda berbanding 117 program pada tahun lepas.

 

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjalankan pelbagai usaha bagi memerangi demam denggi di negeri ini dengan menggerakkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi bagi mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat secara langsung.

 

 

 

“Antara yang dijalankan adalah Program COMBI (Communication For Behavioural Impact) dalam kawalan demam denggi di peringkat daerah dan negeri.

 

 

“Salah satu strategi penting dalam jawatankuasa ini adalah untuk memperkasa dan memobilisasi komuniti dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi.

 

 

“Justeru, usaha-usaha bagi menangani ancaman demam denggi telah dirancakkan pada tahun ini melalui pelaksanaan 563 program gotong-royong komuniti,” katanya pada Sesi Penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini semalam.

 

 

 

Selain itu kata Zi Sen, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya juga telah diambil mengikut peraturan dan undang-undang yang diperuntukan bagi membantu mengawal wabak demam denggi.

 

 

“Tahun 2022 telah menyaksikan sebanyak 1,757 notis di bawah Seksyen 8, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan jumlah 1,063 kompaun dikeluarkan.

 

 


“Bagi tahun ini pula, sehingga Minggu Epid Ke-45, Notis Seksyen 8 yang telah dikeluarkan adalah sebanyak 2,302 dan bilang kompaun yang dikeluarkan adalah 1,786,” ujarnya.

 

 


Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memaklumkan bahawa sehingga kini jumlah kes terkumpul bagi jangkitan demam denggi di Pulau Pinang adalah sebanyak 6,720 kes.

 

 

 

“Pulau Pinang juga telah mencatatkan sembilan kematian yang direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi Ke-47 tahun 2023 iaitu sehingga 20 November 2023.

 

 

 

“Jumlah kes terkumpul mengikut daerah adalah sebanyak 1,160 kes bagi Daerah Timur Laut, Barat Daya (660 kes), Seberang Perai Utara (439 kes), Seberang Perai Tengah (3,286 kes dan Seberang Perai Selatan (1,175 kes),” ujarnya.

 

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN