Selenggara, kerja-kerja pembaikan berkala dapat kurangkan risiko banjir – Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) telah menyelenggara serta melakukan kerja-kerja pembaikan secara berkala di kawasan hotspot banjir sekitar Teluk Bahang dan Sungai Pinang.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari berkata pelan jangka pendek bagi mengurangkan risiko serta kesan banjir kilat di kawaan Teluk Bahang adalah dengan melaksanakan penyelenggaraan sungai secara berkala pada setiap tahun, di samping kerja-kerja pembaikan kecil berkaitan.

Manakala bagi pelan jangka masa panjang pula, beliau memberitahu bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) telah siap melaksanakan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan kotak pembetung (box culvert) di Jalan Hassan Abas, Teluk Bahang pada 25 Oktober 2023.

“Saya yakin dengan pembinaan jambatan baharu ini secara langsung telah mengurangkan risiko banjir di kawasan perumahan berkaitan,” jelasnya sebagai menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Muhamad Kasim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 23 November 2023.

Di samping itu, Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga turut memaklumkan bahawa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Bahang/Sungai Pinang juga akan dilaksanakan bagi tujuan mengurangkali lagi risiko banjir di kawasan berkenaan.

“Bagi mengurangkan risiko banjir dan mengatasi masalah sistem saliran dalam kampung dan jalan yang kecil dan tersumbat, Kerajaan Negeri akan menyelaras kerjasama secara menyeluruh melibatkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (PDTDBD), JKR dan juga JPSPP,” jelasnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD