Program gotong-royong muafakatkan penduduk

Admin

SUNGAI DUA – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua sememangnya unik, apabila menjadikan program gotong-royong sebagai amalan mingguan secara bersama dengan Pengawai Penyelaras KADUN (PPK), Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) kawasan berkenaan.

Menurut PPK Sungai Dua, Mohd. Fahmi Abd. Wahab, amalan gotong-royong sememangnya telah lama diterapkan oleh beliau di kawasan Sungai Dua. Amalan tersebut bukan sahaja memberi kesan positif pada tahap kesihatan malah turut merapatkan ukhuwah penduduk setempat dengan pihak berkuasa tempatan.

Rata-rata program gotong-royong yang diadakan mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat memandangkan tahap kesedaran terhadap pentingnya menjaga kebersihan persekitaran meningkat. PPK Sungai Dua amat berharap agar penduduk di kawasan DUN tersebut sedar bahawa aktiviti gotong-royong yang diadakan bukan sahaja untuk menjaga persekitaran malah turut membantu dalam mengimbangi kehidupan yang sihat dan sejahtera.