Kerajaan Negeri PR bela semua kaum – tidak pinggirkan India Muslim

Admin
KERATAN akhbar Sinar Harian 25 Julai 2011.
KERATAN akhbar Sinar Harian 25 Julai 2011.

GEORGE TOWN – Selain memperkenal dan mengamalkan urustadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT),   Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang terus mendokong  prinsip pentadbiran kerajaan berjiwa rakyat, adil kepada semua kaum. 

Demi rakyat – inilah yang membezakan pentadbiran Kerajaan Negeri PR yang baru berusia tiga tahun berbanding Kerajaan Negeri terdahulu yang mengutamakan kroni dan suku sakat sejak lebih 50 tahun.  Sebab itu, tidak menghairankan, apabila wujud kaum dan kelompok tertentu terus terpinggir.

Kenyataan Presiden KIMMA Kebangsaan, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Julai 2011, yang kononnya masyarakat India Muslim Pulau Pinang terpinggir, hanyalah contoh sikap pemimpin hasil didikan UMNO Barisan Nasional. Jika benar apa yang dikatakan, maknanya beliau mengiakan apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau melihat  hakikat bahawa di bawah kerajaan PR,  baik masyarakat India Muslim mahupun mana-mana kaum terus diberi perhatian tanpa diskriminasi. 

Saya ingin menasihati Syed Ibrahim, usahlah bersikap mengampu dan membodek dek terhutang budi kerana dilantik sebagai Senator. Janganlah sanggup mengadai prinsip dan maruah diri  dengan cuba memporakperandakan keharmonian masyarakat India Muslim di sini.  

Hakikatnya, sejak 2008, Kerajaan Negeri memberikan perhatian dan prioriti kepada India Muslim, jauh sekali untuk meminggirkan mereka (komuniti India Muslim),” katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Abdul Malik menambah, Kerajaan Negeri sentiasa komited memberikan sokongan dan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan, termasuk golongan India Muslim yang banyak melibatkan diri dalam badan bukan kerajaan (NGO). Malah, para pemimpin Kerajaan Negeri sentiasa turun padang bersama komuniti India Muslim dan memberikan sokongan kepada mereka.

Selaku Exco Kerajaan Negeri, saya kerap bertemu dan berbincang baik secara rasmi, mahupun tidak rasmi dengan masyarakat India Muslim. Berbincang dalam pelbagai perkara, baik yang besar mahupun kecil, berkaitan isu agama, masjid dan surau hatta tanah wakaf.

Program yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, iaitu  “Penang World Heritage Celebration”   hanyalah sebahagian bukti usaha Kerajaan Negeri melibatkan masyarakat India Muslim secara langsung  dalam memacu kejayaan negeri ini.  Masyarakat India Muslim turut menerima manfaat daripada program ini, dan hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh Presiden KIMMA,” tegas beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah aktivis agama masyarakat India Muslim, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim, aktivis masyarakat India Muslim, Shahul Hamed, Persatuan Muslim Tanjung, Nasir Mohidin dan para pengusaha Nasi Kandar Pulau Pinang.