Program gunting rambut secara percuma harap diperluas – ADUN

Admin

SERI DELIMA – Penduduk di sekitar Greenlane Heights khususnya warga emas berpeluang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma sempena Program Potongan Rambut yang
dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan berkaitan baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Syerleena Abdul Rashid berkata program-program kemasyarakatan seumpama itu perlu diperbanyakkan lagi di masa depan untuk mendekatkan diri beliau dengan penduduk-penduduk di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negerinya (KADUN).

“Program ini merupakan salah satu cara untuk kita saling lebih mengenali antara satu sama lain.

“Selain itu, program sebegini dapat memberi penghargaan sedikit sebanyak untuk meraikan insan-insan yang memerlukan,” katanya semasa hadir pada program berkaitan yang berlangsung di Dewan Greenlane Height Blok C, semalam.

Hadir sama Pengerusi MPKK Greenlane Height, Yeap Kean Chye.

Sementara itu, Kean Chye memberitahu bahawa kebanyakan penduduk di kawasan itu terdiri daripada golongan warga emas.

“Atas dasar keperihatinan, kami (MPKK Greenlane Height) menganjurkan program ini untuk memudahkan mereka (golongan warga emas) mendapatkan potongan rambut di kawasan rumah secara percuma,” ujarnya sambil mengucapkan syabas kepada ahli jawatankuasanya sempena penganjuran berkaitan.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADUN