Rakyat Pulau Pinang sahut seruan Kerajaan Negeri untuk sertai acara sukan – Exco

Admin

MENDAPAT SAMBUTAN… Bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, acara larian Tanjung Run 2019 diteruskan untuk edisi yang ketiga bertempat di Seri Mutiara.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang hadir pada majlis penyampain hadiah berkenaan menyifatkan Tanjung Run kini merupakan satu acara yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan larian.

“Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu menggalakkan budaya sukan dalam semua golongan lapisan masyarakat, saya lihat orang Pulau Pinang kini menyahut seruan tersebut.

“Setiap minggu sekiranya ada acara larian tidak kira fun run atau pun berbentuk pertandingan, ianya pasti mendapat sambutan hangat bukan sahaja dari Pulau Pinang bahkan dari luar negeri ini,” ujar beliau kepada pihak media baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Tanjung Run juga dilihat sebagai satu peluang baik kepada orang ramai untuk masuk melawat perkarangan Seri Mutiara secara tidak langsung.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAAA), Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza dan wakil-wakil dari Lions Club selaku penganjur bersama.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO