Program Hackfest bantu MPSP cari penyelesaian kreatif, mampu tingkatkan mutu perkhidmatan

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) buat julung kalinya menganjurkan Program Hackfest MPSP 2018 bagi membolehkan orang awam memberi pandangan atau idea kreatif untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program berkenaan mampu meningkatkan kerjasama pelbagai pihak dalam mencorak hala tuju MPSP ke arah perkhidmatan yang lebih baik dan efisien serta berasaskan teknologi baharu bagi memudahkan rakyat berurusan dengan PBT berkenaan.

“Hackfest merupakan satu program yang menghimpunkan pembangun sistem, pereka grafik serta pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan model penyelesaian untuk berkolaborasi dalam membina idea dan mencari penyelesaian termasuk cadangan perkakasan dan pembangunan perisian, konsep dan aplikasi mudah alih.

“Tema yang dipilih bagi program ini adalah ‘Cyber Counter’ yang memudahkan lagi urusan komuniti Seberang Perai dengan MPSP dalam meningkatkan perkhidmatan khususnya di bahagian kaunter,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan di Pejabat MPSP Bandar Perda baru-baru ini.

Hadir sama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Ahli-Ahli Majlis.

Para pemenang program Hackfest bergambar kenang-kenangan bersama Rozali Mohamud (tengah, berkopiah putih) selepas tamat program berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan, penganjuran program berkenaan juga dapat mencungkil bakat, idea dan inovasi kreatif dalam kalangan peserta yang terdiri daripada golongan muda yang meminati teknologi.

“Golongan muda adalah penentu masa hadapan dan pandangan serta idea mereka perlu diberi satu ruang untuk diketengahkan selaras dengan konsep ‘inclusiveness’ yang terkandung dalam Pelan Strategik Seberang Perai 2018-2022,” katanya lagi.

Program yang berlangsung mulai 13 hingga 14 Julai itu, menerima penyertaan sebanyak 13 pasukan. Setiap pasukan dikehendaki membangunkan sama ada konsep, idea dan prototaip cadangan dalam masa 24 jam yang mana mereka perlu mengemukakan hasil untuk semakan dan sesi pembentangan selepas tamat tempoh masa yang ditetapkan.

Antara permasalahan yang memerlukan penyelesaian daripada para peserta adalah berkaitan permohonan permit, lesen anjing, pelan bangunan, papan iklan dan Kaunter Perkhidmatan Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Manakala penilaian pula dibuat pihak juri yang dilantik oleh MPSP berdasarkan lima kriteria iaitu pengalaman (15%), inovasi (25%), impak (25%), perkongsian sumber (25%) serta kualiti keseluruhan (10%).

Kali ini, Program Hackfest MPSP 2018 menyaksikan pasukan Genesis-Go diumumkan sebagai pemenang tempat pertama yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 manakala tempat kedua milik Common Room Bangi (RM2,000) dan tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan SenseArt (RM1,000).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS