Tunai janji manifesto, Kerajaan Negeri naik taraf 20,000 lampu LED & 1,000 CCTV

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini ke arah menunaikan dua daripada 68 janji dalam manifesto  Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Jelasnya, satu daripada manifesto berkenaan adalah janji Kerajaan Negeri untuk memasang 20,000 unit lampu LED (Light Emitting Diode) menjelang tahun 2020.

“Untuk tujuan ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menyelenggara sebanyak 16,636 tiang lampu jalan yang mana daripada jumlah ini sebanyak 7,135 telah siap dipasang  LED dan bakinya (9,501) akan siap Mei 2019.

“Bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pula sebanyak 12,376.

“Kerja-kerja pemasangan dan penggantian akan dimulakan bulan ini (Julai) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, pihaknya juga telah berjaya mendapatkan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menukar semua lampu jalan di bawah penyelenggaraannya dalam bentuk LED.

“Di bahagian pulau, TNB telah beri komitmen untuk mengganti sebanyak 3,450 lampu kepada LED (tahun ini), manakala 8,280 (tahun depan), 4,832 (tahun 2020) yang membawa kepada jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 16,562.

“Manakala di Seberang Perai pula, kita yakin mereka (TNB) akan melakukan perkara yang sama dengan menukar 45,279 tiang lampu,” katanya lagi sambil menambah bahawa jumlah keseluruhan bagi kawasan pulau sebanyak 33,198 dan hampir 58,000 (Seberang Perai).

Difahamkan, tahun lalu MBPP membelanjakan sebanyak RM6 juta untuk tujuan pembayaran bil elektrik manakala MPSP (RM7 juta) dan pemasangan ini dapat menjimatkan hampir 60 peratus daripada kos tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan bahawa satu lagi janji manifesto  akan turut ditunaikan iaitu pemasangan 1,000 unit Kamera Litar Tertutup (CCTV)  ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri selamat.

“Pada masa ini ada 550 unit CCTV telah dipasang di bahagian pulau dan 132 unit  (Seberang Perai) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 680 unit.

“Walau bagaimanapun, difahamkan akhir Julai ini bilangan CCTV akan ditingkatkan kepada 761 unit (bahagian pulau).

“Manakala, pada Mei 2019 sebanyak 150 unit CCTV lagi akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan  911 unit (bahagian pulau) dan jika dicampur dengan 132 unit CCTV (Seberang Perai), jumlah besarnya 1,041 unit,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN