Program Keusahawanan Komuniti bantu kumpulan sasaran jana pendapatan

SUNGAI DUA – Program Keusahawan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat mampu menjadi platform kepada kumpulan sasaran seperti suri rumah, ibu tunggal dan golongan belia untuk menjana pendapatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, antara yang diberikan tumpuan melalui program tersebut adalah perniagaan secara dalam talian (online), aktiviti pertanian seperti penanaman dan penternakan, pembuatan kuih-kuih tradisional serta banyak lagi.

Chow Kon Yeow menyempurnakan cetakan pada sehelai baju di salah sebuah gerai usahawan terlibat.

 

 

 

 

 

 

“Pelbagai bentuk inisiatif dan bantuan sama ada di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan bagi membantu serta memperkasakan usahawan dalam pelbagai bidang.

“Antaranya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah membelanjakan sebanyak RM16.53 juta di bawah Skim Pinjaman Harapan (SPH) bagi membantu kira-kira 3,197 usahawan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di sini sebentar tadi.

Sebahagian komuniti setempat yang hadir memeriahkan majlis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Pemangku Pengawai Daerah Seberang Perai Utara, Rosmin Yaakob; Pegawai Penerangan, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul; Pegawai Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua, Yusri Ahmad; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK); wakil-wakil pemimpin tempatan serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) bagi membantu para usahawan muda khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang memanfaatkan seramai 131 penerima sejak tahun 2014.

“Setakat ini, kita telah menyalurkan sebanyak RM713,000 kepada usahawan-usahawan yang layak dan masih berbaki RM37,000 daripada jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM750,000.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap dengan segala bentuk bantuan yang diberikan secara berterusan kepada para usahawan negeri ini akan berupaya membantu golongan berpendapatan rendah (B40) khasnya untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan mampu berdikari pada masa hadapan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS