Segera lulus APDL bagi bekal rumah mencukupi untuk rakyat – Exco

GEORGE TOWN – Kira-kira 27,500 unit rumah mampu milik boleh dibina untuk rakyat Malaysia yang menetap di Pulau Pinang sekiranya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan segera meluluskan baki 47 lagi permohonan Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL) ke negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri senantiasa mengamalkan keterbukaan atas semangat federalisme, termasuk bersedia untuk saling bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan demi menyegerakan proses kelulusan semua permohonan APDL tersebut.

“Jika Datuk Abdul Rahman Dahlan (Abdul Rahman) sendiri dalam kenyataannya dalam akhbar The Star (21 September 2015) mengakui bahawa pembangunan rumah mampu milik mampu memacu pembangunan ekonomi, mengapa masih melengah-lengahkan proses kelulusan baki 47 APDL ini.

“Datuk Abdul Rahman (Abdul Rahman) wajar segera meluluskan kesemua projek ini kerana kami (Kerajaan Negeri) mahu perumahan yang mencukupi untuk rakyat, khususnya unit-unit rumah mampu milik.

“Kami bersedia untuk saling bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan sebaik mungkin demi merealisasikan harapan rakyat Malaysia di Pulau Pinang bagi memiliki rumah mampu milik mereka sendiri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik. Menurut Jagdeep, sebanyak 34 permohonan daripada keseluruhan 81 APDL telahpun diluluskan.

Justeru, Jagdeep dalam surat rasmi bertarikh 4 September lalu, sekali lagi meminta Abdul Rahman menjelaskan beberapa perkara berbangkit mengenai 47 lagi permohonan APDL yang dilengahlengahkan proses kelulusan oleh kementerian.

“Saya memohon agar dimaklumkan sebab-sebab permohonan-permohonan tersebut masih belum diluluskan dan juga berapa unit-unit perumahan yang terlibat dalam keseluruhan permohonan belum diluluskan.

“Berapakah Nilai Pembangunan Kasar kesemua permohonan-permohonan yang masih belum diluluskan tersebut,” soal beliau. Terdahulu, Jagdeep dalam surat rasmi bertarikh 24 Jun 2015 kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek mengesa supaya diperjelas punca kelewatan proses kelulusan APDL berwajib.

Pada 13 Julai lalu, Jagdeep mengumumkan langkah Kerajaan Negeri untuk meneroka serta mengkaji langkah perundangan sewajarnya, demi mendepani layanan dingin daripada Putrajaya. Ekoran itu, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali dalam satu surat rasmi bertarikh 27 Julai 2015 menjelaskan bahawa kementerian menerima 81 permohonan APDL dari negeri Pulau Pinang dan sebanyak 34 permohonan telahpun diluluskan semasa itu.

Jagdeep dalam reaksi spontan pada 12 Ogos lepas menyatakan bahawa Kerajaan Pusat dianggarkan memperoleh sumber berpuluh bilion ringgit, sekiranya (Kerajaan Pusat) tidak melengah-lengahkan proses kelulusan semua 81 APDL yang dimohon oleh pemaju berwajib.

}